jump to navigation

Pak Lah Cakap Lain – Najib Cakap Lain February 29, 2008

Posted by ibrahimbaba in politik, PRU2008.
add a comment

Apa yang IB hendak kemukakan hari ini amatlah menghairankan sekali – Pak Lah dan Najib sudah tidak sehaluan, malah Pak Lah sanggah teori eksperimen satu penggal Najib.

Dengan tajuk “BN bukti dalam sepenggal majukan Kelantan: Najib” Berita Harian melaporkan lawatan Najib ke Pasir Mas pada 27 Feb 2008.

Antara yang boleh dipetik dari BH 28 Feb 2008:

Rakyat boleh nilai keupayaan atau pilih parti lain jika mengecewakan

Sudah sampai masa mereka memberi peluang kepada BN membuktikan kita mampu buat perubahan dan membela rakyat Kelantan dalam tempoh empat tahun atau sepenggal.

Pada hari yang sama disiarkan berita Najib meminta rakyat Kelantan membuat eksperimen memberi kerajaan negeri kepada UMNO/BN, Pak Lah pula menyanggah teori bereksperimen Najib. Dalam BH hari ini (29 Feb 2008), dengan tajuk berita “Negara bukan bahan uji kaji, risiko tinggi jika terpengaruh rayuan” dilaporkan dari Kepala Batas, Pak Lah meminta rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang supaya memberi peluang kepada mereka untuk memerintah negara ini selama sepenggal.

Apakah Najib berdakyah supaya memberi peluang kepada UMNO untuk memerintah Kelantan selama sepenggal?

Pak Lah menambah “Dia (pembangkang) nak cuba, mana boleh. Kita nak tubuh kerajaan ni, bukan boleh buat eksperimen

Nak buat eksperimen lima tahun (sepenggal), jika tak jadi, tak kah teruk. Itu risiko yang paling tinggi dan saya harap tiada sambutan bagi cadangan seumpama itu

Semoga nasihat Pak Lah supaya jangan dengar dakyah Najib bereksperimen untuk hendak perintah Kelantan didengar oleh ahli-ahli UMNO dan mereka yang sayangkan Pak Lah. Dengarlah baik-baik nasihat pemimpin anda yang melarang ahli dan rakyat jangan memberi sambutan cadangan seumpama itu yang didakyahkan oleh Timbalannya sendiri.

Pak Lah Lah dan Najib Tidak Sehaluan - Pak Lah Sanggah Teori Eksperimen Najib

Apakah mereka sudah tidak sehaluan sehingga mengeluarkan pandangan dan teguran bertentangan secara terbuka? Apakah ini tanda-tanda mereka tidak senang dengan kenyataan masing-masing dan menunjukkan kuasa serta siapa bos?

Maka sudah jelaslah, Pak Lah tidak mahu rakyat Kelantan bereksperimen tukar kerajaan yang diperintah PAS. Maka secara langsung, Pak Lah juga menyanggah kempen menantunya untuk tukar kerajaan Kelantan.

Nampaknya suasana kempen menjadi semakin menarik …

Sekian, IB

Apa Jadi Kepada Mereka Yang Ditonjolkan Pada 2004? February 29, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Sambil meneliti dan cuba membuat analisa kedudukan mereka yang tersenarai sebagai calon untuk PRU12 ini IB turut membuat rujukan pada senarai calon 2004.

Entah secara kebetulan atau bagaimana, dua gambar terpampang di muka 14 Mingguan Malaysia 14 Mac 2004 – Dr. Rozaidah Talib dan Dr. Raman Ismail. Tokoh baru yang ingin ditonjolkan oleh Utusan untuk PRU 11 itu. [Aneh juga dalam gambar ini Rozaidah bertudung – seingat IB, sepanjang penggal dia menjadi YB – tak pernah pula nampak dia bertudung]

Keratan akhbar 14 Mac 2004

Kedua-dua tokoh ini pula telah secara (kebetulan) bersama juga digugurkan pada kali ini. Dilaporkan dalam media rasmi dan tidak rasmi, kedua-duanya telah mengharungi pelbagai episod dalam kehidupan mereka sepanjang satu penggal bergelar YB. Apakah episod-episod hidup seperti itu menjadi suatu kebiasaan di kalangan YB-YB UMNO?

Kisah-kisah yang dilaporkan, dari Perlis hingga ke Sabah, sesetengahnya terlalu keji untuk IB sebut di sini. Bukan ruang ini untuk IB panjangkan cerita-cerita yang telah menjadi buah mulut orang. Dari pelbagai lokasi, peringkat umur dan pelbagai adegan … semua terlalu menjijikkan bagi kita orang Melayu dengan adat ketimuran dan beragama Islam.

Sekadar berkongsi pengamatan …

Sekian, IB

Protes Senyap Mad Aris “Gone Mad” February 29, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
1 comment so far

IB menerima beberapa keping foto seperti ini sehari sebelum penamaan calon kiriman anak sepupu yang tinggal di Taman Dagang Ampang.

mat-aris-1.jpg

Beliau mengatakan Mad Aris protes kerana tidak dicalonkan kali ini. Tiada satu bendera pun dikibarkan di rumahnya.

Namun, IB agak serba salah untuk siarkan bimbang mungkin Mad Aris belum mula lagi hendak berkempen. Mungkin sehari dua lagi dia akan pacakkan bendera partinya kerana terpaksa akur dengan keputusan bosnya.

Secara kebetulan, pada petang tadi, IB mempunyai temujanji untuk berjumpa seorang rakan di Dataran Palma Ampang. Selepas selesai bermesyuarat tumpang solat Asar di rumah anak sepupu tersebut. Selepas solat, ketika berbual, beliau asyik bercerita suasana kempen di sekitar Ampang dan DUN Cempaka. Saya bertanyakan apakah Mad Aris masih berkabung tanpa hiasan bendera. Dia dengan bergegas mengajak saya pergi tenguk sendiri.

Kami pun berjalan kaki dari rumahnya yang terletak beberapa ratus meter dari rumah Mad Aris. Memang benar seperti yang dimaklumkan beliau.

mat-aris-2.jpggone mad aris way 3

Mad Aris melakukan protes senyap tidak mengibarkan sebarang bendera parti. Apakah Mad Aris “has really gone mad?”

Beginikah perilaku para pemimpin UMNO – bila sahaja tidak dicalon maka tidaklah lagi mahu dihulur masa dan tenaga untuk membantu parti. Itulah sebabnya Najib untuk tiga hari berturut mengingatkan mereka yang tidak dipilih menjadi calon supaya jangan boikot kempen.

IB yakin gejala ini adalah menyeluruh dan UMNO memang kini disabotaj dari dalam.

Apakah kali ini DUN Cempaka bakal menyaksikan satu perubahan dan membuka ruang untuk calon PAS?

Sekian, IB

 

UMNO Disabotaj Dari Dalam February 26, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
1 comment so far

Protes dan pemberontakan yang banyak berlaku di kalangan pemimpin dan ahli UMNO akibat dari perebutan untuk menjadi calon dalam PRU12 ini amat membimbangkan pemimpin UMNO. Gejala ini amat menyeluruh di negeri-negeri Terengganu dan Perlis dan turut juga dirasai di beberapa negeri lain termasuk Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

Telah banyak dilaporkan oleh sahabat-sahabat kita tentang apa yang berlaku di kawasan-kawasan mereka. Sesetengahnya amat ketara dan serius yang turut mempamerkan pemberontakan berbentuk fisikal. Ini belum lagi kita kira pemimpin dan pengikut mereka yang membuat protes senyap.

Lantaran kebimbangan ini, Najib terpaksa mengeluarkan amaran kepada ahli-ahli UMNO sepertimana yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 24 Feb 2008.

IB rasakan protes dan pemberontakan yang berlaku amat serius. Sebab itulah Najib sendiri terpaksa mengeluarkan amaran tersebut bagi membendung gejala ini merebak ke lain-lain tempat.

Amaran Najib kepada ahli UMNO yang memberontak

Najib mengatakan bahawa “pemilihan calon dibuat secara rasional” – jika benar kenapa berlaku penarikan diri calon-calon yang disenaraikan? Kenapa berlaku calon yang bankrap terlepas saringan pelbagai peringkat (yang sangat diwarwarkan)? Kenapa berlaku protes yang agak menyeluruh – tidakkah mereka turun padang dan mendapat maklumbalas dari ahli di peringkat bawah sebelum ini? Apakah ini para pemimpin UMNO hanya memerintah dari menara gading dan hanya turun padang 4-5 tahun sekali pada musim pilihanraya?

Kemudian Najib juga mengatakan “pucuk pimpinan tidak sesekali melakukan sebarang perubahan dari segi senarai nama calon hanya kerana desakan pihak tertentu” – tetapi kenapa pula berlaku apa yang telah kita maklum di Perlis? Persetujuan hanya berlaku di saat akhir. Maklumat yang sahih mengatakan bahawa desakan dan tekanan yang sebenarnya membuat kata putus dalam pemilihan di Perlis.

Sekian, IB

Website BN – Amat Ketinggalan February 26, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Amat menarik sekali di zaman IT dan alam siber memainkan peranan besar dalam kempen PRU, kita dapati BN agak ketinggalan dalam medan ini.

Bagi menghadapi PRU 12, BN telah menubuhkan satu laman sesawang baru mereka yang panggil Laman Rasmi Kempen BN 2008. Malangnya sepertimana menjadi adatnya, mereka melakukan sesuatu itu berdasarkan komitmen mereka kepada duit. Tiada duit tiadalah usaha dari pihak mereka. Berbeza dengan mereka yang berjuang dan berdakwah dengan penuh sukarela untuk menegakkan syiar Islam hanya sekadar mengharapkan keredhaan Allah Azzawajalla.

Contoh-contoh yang IB kemukakan di sini berdasarkan apa yang terpaparkan di laman mereka pada 25 Feb 2008. Mereka mungkin memperbaikinya selepas ini.

Dalam parti-parti komponen BN, disenaraikan Najib sebagai Setiausaha Agung UMNO, Chan Kong CHoy sebagai SUA MCA, Jeffrey Kitigan sebagai SUA PBRS (walhal beliau bertanding atas tiket Keadilan).

Komponen parti BN - banyak fakta salah

Bila kita baca berita terkini mereka – sudah lapok. Berita terakhir mereka bertarikh 20 Feb 2008. Senarai calon pun tidak tersenarai!!!

official-bn-2008-campaign-site-news-25feb08.jpg

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada sahaba-sahabat webmasters dan mereka yang tekun mengemaskini pelbagai laman web/sesawang yang memainkan peranan mereka dalam peperangan di alam siber ini. Teruskan usaha ini.

Sekian, IB

Iklan – Perbandingan Harga Barang Keperluan Terpilih February 26, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
4 comments

IB rasa ramai sudah melihat iklan kempen BN yang membandingkan harga barang keperluan terpilih. Sekali lihat mungkin kita terpengaruh dengan perbandingan itu.

Iklan banding harga

Bila melihat cara berkempen mengguna statistik, maka IB teringat satu buku klasik yang menjadi rujukan asas kepada semua pelajar statistik ataupun bidang-bidang yang seumpamanya, iaitu “How_to_Lie_with_StatisticsDarrell Huff. Walaupun buku ini ditulis pada tahun 1954, namun apa yang disebut dalam buku kecil 142 halaman ini tetap masih relevan.

Mengguna statistik memang mampu menarik serta memukau orang untuk percaya. Namun kerap kali angka-angka itu diselewengkan untuk mengaburi serta menipu “fakta” yang dibentang.

Berbalik kepada perbandingan harga tadi, IB ingin menarik perhatian kepada perbandingan yang dibuat dengan Singapura. Dari senarai itu kita akan merasakan bahawa barang-barang di Singapura adalah yang paling mahal. Sekali tenguk atas setiap barang harga di Singapura dilihat sebagai sekali ganda berbanding di Malaysia berdasarkan harga dalam RM.

Namun apa yang sengaja tidak ditunjuk kepada kita ialah apakah gaji asas bagi orang-orang di Singapura. Sebagai rujukan bagi yang berminat untuk membuat perbandingan bolehlah rujuk url ini. Rumusannya ialah, perbandingan gaji bagi pelbagai pekerjaan di Singapura dalam dollar Singapura adalah hampir sama (malah banyak juga yang lebih tinggi dan tidak jumpa pula yang kurang) angkanya dalam RM untuk kita di Malaysia.

Jadi, apabila kita tukarkan angka gaji di Singapura kepada ringgit (tukaran 1RM= 2.30 dollar Singapura), maka kita dapati gaji mereka di Singapura adalah 2.3 kali ganda lebih dari kita di Malaysia. Dengan itu perbandingan dalam iklan BN itu satu pemalsuan fakta dan cubaan untuk menyelewengkan fahaman rakyat. Nampak macam kita murah TETAPI “dispensable income” (saya bukan pakar ekonomi tak pasti istilah yang diguna dalam bahasa Melayu – mungkin “pendapatan yang mampu untuk dibelanja”) mereka di Singapura adalah jauh lebih banyak dari kita di Malaysia.

Kenapa pula mereka tidak pula menyenaraikan untuk dibandingakan dengan harga-harga di Brunei? Mesti ada sesuatu yang tidak mahu ditonjolkan bila mereka tidak menyebutnya.

Dan jika kita lihat perbandingan per kapita Malaysia (USD5,780) dengan Singapura (USD30,084) (boleh rujuk url ini), mengguna data World Bank (2006) – menunjukkan bahawa per kapita Singapura adalah hampir 6 kali ganda lebih tinggi dari kita di Malaysia.

Itulah sebabnya buku yang saya sebut di awal tadi tetap masih relevan dan sangat digunakan oleh BN dengan mengeluarkan pelbagai “fakta” dan statistik yang boleh mengelirukan orang ramai. Dan mereka lakukan dengan sengaja untuk menipu.

Sekian, IB

Mungkin Orang Cina Pandai Berpolitik February 24, 2008

Posted by ibrahimbaba in politik, PRU2008.
1 comment so far

Apakah ada perbezaan cara orang-orang Melayu berpolitik berbanding dengan orang-orang Cina? Jika kita teliti sejarah dan “pattern” orang-orang Cina mengundi kita dapat membuat sedikit rumusan tentang cara mereka mengguna pilihanraya umum demi untuk kepentingan bangsa mereka. Kita akan dapat lihat seolah-olah ada sesuatu permainan yang bijak dalam memilih calon/parti yang bertanding.

Antara pengamatan IB ialah, orang Cina bijak memainkan isu. Mereka tahu agenda apa yang perlu mereka ketengahkan setiap kali tiba pilihanraya. Mereka tidak membuta tuli menyokong MCA/Gerakan atau DAP. Secara umum, kita dapat lihat perbezaan undi yang dipangkah semasa PRU11 dengan PRU10. Dan begitu pula dengan PRU12 kali ini, ramai yang menjangkakan orang-orang Cina akan memberi undi mereka kepada DAP untuk DUN di Pulau Pinang tetapi tetap mahukan suara mereka didengari melalui MCA/Gerakan di Parlimen.

Orang Cina bijak mengaturkan desakan setiap kali tiba pilihanraya. Mereka mengundi untuk mencapai agenda mereka. Setiap kali sebelum tiba PRU, mereka akan menghantar pelbagai tuntutan dan rungutan. Kerap kali pemimpin mereka dalam BN akan cuba menyambut dengan memberi tekanan dalam BN. Akhirnya, para pemimpin Melayu dalam BN akur dengan tuntuan orang-orang Cina. Tidak perlu IB panjangkan dengan pelbagai contoh kerana ianya amat ketara di akhir-akhir ini.

Sebagai satu contoh kecil – apakah berani orang-orang Melayu yang memimpin BN baik di KL mahupun di Melaka mengambil tindakan yang wajar lagi jelas dalam hal ladang babi yang kini telah senyap sepi? Tarikh akhir diberi beberapa kali, FRU pun dah dikerah. Apa jadi akhirnya? Anak-anak babi yang melebihi bilangannya dulu kini sudah bercicit dan berganda bilangannya. Hanya kerana selepas para pemimpin Cina mengambil serius rungutan para penternak babi, Najib terus mengalah dan mengarah FRU berundur. Langsung tidak berani lagi timbul isu itu kerana takut PRU sudah makin hampir ketika itu.

NGO-NGO Cina pandai memainkan peranan mereka. Malah NGO-NGO Cina nampak lebih digeruni oleh parti-parti yang didokongi orang Cina. Malah, isu-isu yang diketengahkan NGO mereka disambut oleh parti Cina pembangkang mahupun yang bersama Kerajaan. Maka tertekanlah para pemimpin Melayu yang gah kononnya memperjuangkan bangsa Melayu tetapi kerdil apabila digertak NGO-NGO Cina.

Sekian, IB

Orang Melayu Bermain Politik, Orang Cina Pandai Berpolitik February 23, 2008

Posted by ibrahimbaba in politik.
add a comment

Itulah bezanya cara orang Melayu bermain politik berbanding orang Cina yang pandai berpolitik.

Orang Cina bijak memainkan isu

Orang Cina bijak mengaturkan desakan setiap kali tiba pilihanraya

Mereka mengundi untuk mencapai agenda mereka

Inshaallah … IB akan ulas ini [nak rehat untuk penamaan esok … bukan IB – sekadar memberi sokongan :-)]

Harapan dan Realiti February 23, 2008

Posted by ibrahimbaba in politik, PRU2008.
add a comment

Sesungguhnya ramai yang menaruh harapan agar hasil dari PRU12 ini akan berlaku perubahan yang sewajarnya. Ada yang menaruh harapan agar parti-parti yang bergabung secara longgar sebagai Barisan Alternatif ini dapat melakukan suatu kejutan dengan mengalahkan BN. Ada yang mengharapkan agar BN kalah di negeri-negeri Kedah dan Terengganu manakala ada yang menaruh harapan agar PAS dapat melebarkan majoriti kerusi yang bakal dimenangi di DUN Kelantan.

Namun, itulah pelbagai harapan demi harapan.

Dari segi realitinya, amatlah sukar untuk BN kalah di peringkat Parlimen dalam PRU. Mungkin mustahil adalah lebih tepat – sekurang-kurangnya untuk PRU kali ini.

Ini adalah kerana pelbagai helah dan kaedah yang telah dilakukan termasuk menggubal pelbagai akta untuk memastikan kerajaan memerintah kekal berkuasa.

Antaranya:

  1. Menambahkan kawasan parlimen yang menjadi kubu kuat mereka. Ini dilakukan dalam pensempadanan semula dengan menambah kawasan di Johor, Sarawak dan seumpamanya dan tidak bagi negeri-negeri majoriti Melayu.
  2. Memastikan kawasan-kawasan tertentu memerlukan perkongsian dari pelbagai bangsa untuk menang.
  3. “Gerrymandering” – mengubahsuai sempadan agar memasuk/mengeluarkan kawasan-kawasan tertentu bagi memenangkan pihak mereka.
  4. Undi Pos – satu-satunya senjata sulit yang sukar untuk memasti ketelusannya
  5. Pengundi hantu – tidak kira apa jawapan yang telah diberi oleh SPR – fenomena ini tetap ada. Walaupun buktinya amat jelas – ianya sekadar menjadi pameran sahaja – SPR membisu tanpa perlu menjelaskan bukti yang diketengahkan.
  6. Media yang tidak bebas dan berat sebelah.
  7. Memindah-mindah kawasan atau tempat mengundi walaupun tanpa permintaan pengundi.
  8. Kerajaan memerintah (sebagai “caretaker government”) menyalah-guna pelbagai kemudahan kerajaan untuk berkempen – antaranya:
  • menggunakan Polis untuk menyekat aktiviti/kempen parti lawan.
  • mengguna pihak berkuasa tempatan untuk membuang bahan kempen/poster parti lawan
  • mengguna sekolah dan pelbagai bangunan kerajaan untuk berkempen

Apa yang disenarai di atas adalah yang dibuat secara “rasmi”. Banyak lagi taktik kotor yang dilakukan seperti:

  1. Membeli undi (rasuah) dengan pelbagai sogokkan.
  2. Ugutan terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan.
  3. Mengerah pelajar IPTA untuk berkempen secara selindung atas nama pelbagai aktiviti sosial
  4. Mengeluarkan pelbagai kontrak segera demi untuk menyalurkan dana untuk calon-calon bertanding (umpama yang kerap digunakan ialah menurap jalan, mengecat bangunan kerajaan, lanskap dll – ini kerap juga diguna untuk menabur janji menunjuk keperihatinan mereka[untuk pilihanraya sahaja])

… dan banyak lagi.

Pendek-kata, realitinya, BN akan kekal berkuasa dan harapan yang agak munasabah adalah:

  1. Menambahkan majoriti kerusi DUN Kelantan.
  2. Mungkin dapat menguasi negeri-negeri Kedah dan Terengganu – atau sekurangnya menyekat BN dari mendapat majoriti 2/3.
  3. Mungkin juga BN tewas di Pulau Pinang – akan IB ulas dalam posting lain.
  4. Menambah beberapa kerusi di Selangor, Pahang, Perak dan Perlis.
  5. dan sewajarnya menambah kerusi di Parlimen untuk menafikan majoriti 2/3 mereka.

Itulah yang menjadi harapan bagi IB. Semoga diizinkan Allah. Ameen.

Sekian

IB

Gerrymandering is a form of redistricting in which electoral district or constituency boundaries are manipulated for an electoral advantage (http://en.wikipedia.org/wiki/Gerrymandering)

Maka bermulalah … February 23, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Alhamdulillah, maka bermulalah juga untuk IB ikut serta dalam alam blog sempena kempen PRU ke 12 ini.

Semoga ada manfaatnya dan dapat dikongsikan bersama.

Sudilah kiranya untuk mengikuti catatan-catatan IB seterus.

IB pernah cuba mempunyai laman web sendiri [http://www.lamanib.bravehost.com/] namun dengan kesibukan kerja – tidak tertanggung untuk mengemaskininya.

Terima kasih.

Sekian

IB