jump to navigation

Sebelum duduki kerusi PM, Najib perlu bersihkan imej March 31, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

KOTA BHARU, 30 Mac (Hrkh) – Dato’ Seri Najib Razak perlu terlebih dahulu membersihkan imejnya yang banyak tercalar dengan kisah peribadi, sebelum mengangkat sumpah sebagai ketua negara.

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata, rakyat berhak menuntut bakal perdana menteri itu membersihkan dirinya sebelum menduduki kerusi ketua kerajaan Barisan Nasional.

“Kita ada hak menuntut pemimpin terbabit membersihkan dirinya sebelum menjadi Perdana Menteri. Sebab apabila sudah menjadi Perdana Menteri beliau bukan sahaja jadi ketua untuk Umno atau Barisan Nasional sahaja.

“Tetapi beliau juga Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagaimana seorang pemimpin negara boleh diyakini jika tuduhan terhadapnya gagal dibersihkan sehingga menimbul keraguan rakyat,” katanya pada ceramah di Padang Majlis Daerah Ketereh di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini akhbar Perancis, Liberation melaporkan Najib ada hubungan dengan wanita Mongolia, Altantuya Shariibu yang mati dibunuh dengan kejam di negara ini.

Selain itu akhbar The Nation, The New York Times, 9News, The Australian, Times Of India dan Timeonline juga melaporkan secara ekslusif mengenai kematian Altantuya di Malaysia.

Mohamad berkata, sehingga sekarang Timbalan Perdana Menteri tidak menafikan segala laporan yang disiarkan akhbar terbabit sehingga menimbulkan keraguan di kalangan rakyat.

“Oleh itu kerajaan disaran menubuh suruhanjaya menyiasat mengenai segala tuduhan yang dilemparkan akhbar berkenaan bagi mengelak spekulasi buruk terhadap seorang bakal Perdana Menteri dari pandangan pemimpin dunia.

“Kegagalan pemimpin berkenaan menjelaskan mengenai perkara sebenar menyebabkan bakal Perdana Menteri Malaysia dilemparkan dengan bermacam-macam tomahan di peringkat antarabangssa,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad juga menyelar tindakan pemimpin tertentu memperalatkan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

Katanya, tindakan pemimpin terbabit tanpa disedari telah mencalar imej demokrasi dan hak kebabasan rakyat bersuara di negara ini.

“Di mana ciri-ciri demokrasi dalam negara jika suara rakyat dinafikan sedemikian rupa. Ini sebenarnya menggambarkan mukadimah pemerintahan bakal Perdana Menteri yang dilihat bukan seorang pemimpin yang berjiwa besar,” katanya.

Menurutnya perbuatan itu yang jarang dilakukan pemimpin negara sebelum ini menjunamkan lagi indeks kebebasan bersuara di negara ini.

Kata beliau apa yang jelas tindakan tersebut menggambarkan kerajaan BN begitu takut menghadapi kritikan pembangkang yang kini bangkit bersama rakyat.

“Rakyat tidak lagi dibenarkan mendapat maklumat melainkan melalui media-media dikuasainya Umno dan BN sahaja.

“Barangkali inilah wajah sebenar bakal pemimpin negara yang takut kepada bayang-bayang sendiri,” ujarnya. – mj _

Advertisements

Muhibah Pakatan Rakyat di hari penamaan calon March 30, 2009

Posted by ibrahimbaba in PAS, politik, UMNO.
add a comment

Katakan pemberita Harakah “exaggerate” angkanya – Tetapi kalau digandakan bilangan penyokong 5,000 = 10,000 dan diseparuhkan penyokong PR 30,000 = 15,000. Tetap masih ramai penyokong PR. Tetapi tidak semua yang datang tu pengundi dan begitulah bagi kedua-dua belah pihak. – IB

*******************************************

dipetik dari Harakahdaily

ANGKA dan nombor mungkin menjadi isu menarik sepanjang hari penamaan calon PRK Parlimen Bukit Gantang, 29 Mac lalu. Apakan tidak, jumlah penyokong Pakatan Rakyat yang membanjiri bandar Taiping dianggarkan lebih 30,000 orang berbanding 5000 penyokong BN.

Mungkin ada antara ‘penyokong fanatik’ Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan angka itu kerana diyakini jumlahnya lebih besar. Bagaimanapun bukan angka yang penting tetapi semangat dan daya juang yang ditunjukkan para penyokong Pakatan.

Sebelum Subuh lagi, perkarangan Masjid Lama Bandar Taiping telah pun dibanjiri para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

Solat Subuh pagi itu berlangsung umpama solat Jumaat! Malah kumpulan-kumpulan jamaah yang tidak sempat untuk bersolat kerana ketiadaan tempat turut menunaikan solat Subuh berjemaah kemudiannya dengan jumlah yang ramai juga.

Difahamkan, dua buah masjid lagi – masjid baru dan Masjid India di bandar Taiping turut mengalami situasi yang serupa.

Solat hajat berlangsung pada jam 7.30 pagi sebelum majlis perarakan ke tempat penamaan calon. Malah sebahagian para penyokong Pakatan Rakyat sudahpun beransur-ansur bergerak ke Majlis Perbandaran Taiping seawal jam 7.00 pagi.

Kiri-kanan jalan dipenuhi para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang masing-masing gah berbaju-T, berlilit kepala dan memegang bendera berlambang bulan. Lambang-lambang KeADILan dan DAP juga diperagakan.

Kehadiran puluhan ribu penyokong Pakatan juga disambut mesra penduduk bandar Taiping. Kenderaan yang bertali arus membunyikan hon tanda sokongan termasuk oleh kenderaan-kenderaan milik kerajaan dan Majlis Perbandaran.

Para anggota trafik juga hadir di persimpangan-persimpangan lampu isyarat bagi memastikan kelancaran aliran kenderaan dan peserta perhimpunan.

Dalam kebanjiran para penyokong PAS yang bertali arus ke tempat perhimpunan, masyarakat Cina yang menjadi penonton setia di tepi-tepi kaki lima bangunan melambai-lambai tangan memberikan sokongan.

Ada antara mereka yang melaungkan kata-kata semangat sambil bertepuk tangan.

Apa yang menarik perhatian, baju-T dan bendera lambang PAS bukan sahaja dipegang para penyokong PAS, malah turut dipakai dan diarak kaum Cina dan India.

Seorang lelaki tua Tionghua dan rakannya memberitahu telah bangun pada jam 5 pagi dan bertolak dari Ipoh untuk turut berarak ke pusat penamaan calon.

Seorang wanita Tionghua yang ditemui mengaku datang daripada Bukit Damansara Kuala Lumpur bersama tiga rakannya.

“Kami akan duduk di sini sehingga 7 April untuk membantu kempen (calon PAS),” katanya bangga.

Sokongan hangat masyarakat setempat kepada para penyokong Pakatan Rakyat benar-benar menghidupkan suasana muhibah di pagi hari penamaan calon itu.

Kehadiran para pemimpin utama DAP seperti Penasihatnya, Karpal Singh, Pengerusi Kebangsaan, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, Pengerusi Publisiti, Ronnie Liu, anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menggambarkan semangat setiakawan Pakatan Rakyat.

Malah puluhan ribu penyokong Pakatan turut dihiburkan dengan kehadiran kumpulan gendang India Kelab Penyokong PAS yang turut memeriahkan suasana hari penamaan calon.

Beberapa ‘insiden nakal’ juga berlaku apabila para pemimpin Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yasin, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, Dato’ Tengku Adnan Mansor, Dato’ Mustapha Mohamad dan Dato’ Jamaluddin Jarjis disorak para penyokong Pakatan Rakyat dengan pelbagai slogan ketika berjalan kaki ke Bangunan Umno Taiping dari hotel kediaman mereka bagi memulakan perarakan BN.

Malah Jamaluddin yang melambai-lambai tangan ke arah penyokong Pakatan Rakyat dari kaki lima hotel kediamannya di Jalan Kota disorak dengan pelbagai slogan antaranya “rasuah” dan “raba”.

Bagaimanapun tiada seorang pun pemimpin Umno dan BN dikasari secara fizikal seperti dialami Karpal Singh yang dibaling botol air minuman oleh para penyokong BN.

Para pemimpin Pakatan Rakyat juga mengambil kesempatan berucap di hadapan ribuan penyokong yang hadir sementara menunggu perisytiharan calon. Seorang pemimpin wanita DAP menarik perhatian hadirin apabila menyelitkan pantun-pantun empat kerat dalam ucapannya. Setiap pantun yang diucapkan penuh fasih disambut sorakan dan tepukan hadirin.

Sehingga tamat proses penamaan calon kemeriahan masih dirasai di jalan-jalan sekitar Taiping. Masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum berganding bahu dan bersatu tekad memberikan sokongan kepada calon PAS, Dato’ Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang mewakili Pakatan Rakyat.

Ketika semangat muhibah dan perpaduan erat antara kaum menjalar dalam Pakatan Rakyat, BN khususnya Umno mula membakar semangat perkauman dan sentimen agama bagi meraih sokongan rakyat khususnya kaum Melayu.

Nizar digambarkan sebagai pengkhianat Melayu, penderhaka Sultan dan pengancam survival Melayu kerana sanggup diperalatkan DAP.

Institusi Raja dan istana cuba diheret Umno dalam kancah politik dalam kempen-kempennya di kampung-kampung Melayu. Kempen dari rumah ke rumah oleh Puteri dan Wanita Umno diselitkan dengan propaganda jahat yang boleh menggugat keharmonian kaum.

Dalam ikrar pemimpin Umno untuk berubah dan membuang faham fanatisme bangsa, keghairahan kempen Umno di Bukit Gantang masih terperangkap dalam dogma Melayu dan ‘ancaman terhadap survival bangsa’ oleh bangsa yang lain.

Akhirnya yang menjadi penentu adalah rakyat. Mereka bakal memilih sama ada ingin bersama Pakatan yang memprojekkan semangat toleransi dan memperjuangkan keadilan dan kebajikan untuk semua atau memilih Umno/BN yang masih terperangkap dalam dogma ketuanan kaum.– tajdid _

Melayu dan Bumiputera dihina,silap Umno sendiri March 28, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Hrkh) – PAS menyanggah kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyalahkan pembangkang bila orang Melayu dan bumiputera dihina sewenang-wenangnya.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Kamaruddin Jaffar menegaskan perkara tersebut berlaku akibat kesilapan dan kelemahan Umno yang mengetuai Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan Abdullah tidak sepatutnya mengaitkan kelemahan Umno-BN dengan pembangkang kerana telah terbukti pemerintahan PAS di Kelantan yang telah hampir 20 tahun bersih dan telus tanpa sebarang salah laku dan rasuah.

“Kenapa Abdullah nak kaitkan pembangkang bila rakyat marah dengan Umno-BN sedangkan telah hampir 20 tahun PAS perintah Kelantan tidak ada pun exco atau wakil rakyat yang dikaitkan dengan rasuah.

“Rakyat bukan Melayu tidak menghina orang Melayu dan Bumiputera tetapi sebaliknya marah dan kecewa dengan Umno yang kononnya menjaga ketuanan Melayu namun membiarkan orang Melayu terus menerus dihimpit kesusahan,” tegas beliau.

Pemerintahan PAS di Kelantan tegas Kamaruddin yang telus dan berintegriti diterima baik oleh masyarakat bukan Melayu dan tidak pernah berlaku orang Melayu dan Bumiputera dihina kerana hak semua dijaga.

Beliau seterusnya menegaskan penerimaan baik masyarakt bukan Melayu terhadap PAS di Kelantan membuktikan bahawa orang Melayu dan Bumiputera tidak dipersalahkan sebaliknya mereka hanya menyalahkan Umno-BN.

Contohi Shahrir, lebih ‘gentlemen’ jika letak jawatan March 28, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Hrkh) – Langkah awal Dato’ Shahrir Abdul Samad meletak jawatan sebagai anggota kabinet patut diikuti oleh dua menteri dan tiga timbalan menteri yang tewas dalam merebut kerusi majlis Tertinggi Umno.

Walaupun Shahrir dikatakan ‘senior’ dalam Umno,tetapi kekalahannya itu menggambarkan penolakan 2,500 perwakilan Umno.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Mohd Ramli ketika dihubungi tidak terkejut dengan keputusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu meletakkan jawatan sebaik sahaja kalah dalam pemilihan Umno.

Katanya, tindakan awal Shahrir itu sekali gus memudahkan Perdana Menteri yang baru membuat rombakan kabinet bagi melantik anggota baru mengikut seleranya.

“Mereka yang tewas, lebih ‘gentleman’ patut meletak jawatan. Itulah cara yang lebih baik macam Shahrir,” katanya ketika dihubungi.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, mengesahkan beliau sudah muktamad agar tidak dilantik semula sebagai anggota Majlis Tertinggi dan juga Kabinet yang baru.

Shahrir menjelaskan, susulan kekalahan semalam adalah tidak adil untuk kepimpinan parti melantik beliau semula menduduki MT dan jemaah menteri.

Tegas Shahrir, beliau tetap akan menolak jikapun dilantik semula oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dan bakal Perdana Menteri.

Sementara itu, dua menteri berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Dato’ Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad.

Timbalan Menteri yang gagal mendapat tempat iaitu Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Noraini Ahmad dan dua timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mohd Johari Baharum dan Dato’ Hasan Malek.

Khir Toyo akan digantung tugas sebagai Adun March 28, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari Harakahdaily

SHAH ALAM, 27 Mac (Hrkh) – Bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo akan digantung tugas sebagai Adun Sungai Panjang dan ditarik elaun kerana engkar arahan Dun untuk menghadiri sesi siasatan terbuka Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat).

Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim, berkata berhubung keengkaran Khir menghadiri sesi siasatan berkenaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Balkis), laporan polis akan dibuat melalui Setiausaha Dun.

Katanya, Yang Dipertua Balkis, Datin Seri Zaharah Kecik yang juga isteri Khir akan diambil tindakan undang-undang kerana engkar menghadiri siasatan Selcat.

“Surat menyatakan keengganan Khir dan Zaharah untuk hadir ke siasatan Selcat telah disampaikan melalui peguamnya petang Isnin, 23 Mac,” katanya dalam sidang media selepas siasatan Selcat, tengah hari tadi.

Sementara itu tambah beliau isteri Tan Sri Muhammad Muhd Taib (bekas Menteri Besar Selangor), Puan Sri Asbi Rohani Asnan akan dipanggil menjadi saksi pada Isnin, 30 Mac nanti.

Beliau memaklumkan, Selcat telah menerima surat pemberitahuan daripada Asbi pada pagi tadi yang memohon penangguhan menjadi saksi kerana mempunyai tugas-tugas rasmi.

Beberapa saksi lain akan dipanggil semula termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datin Khairiyah Abu Hasan dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor (JPPPN) pada Isnin dan Rabu.

Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil March 17, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
2 comments

dipetik dari harakahdaily:

ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) – Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini.

“Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris,” tegas A Samad.

“Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris,” ujar pejuang bahasa itu lagi.

“Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris,” kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, “Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur”.

Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi.

Ketika memulakan ucapannya, A Samad membuat satu peringatan yang menggamatkan suasana dewan yang dipenuhi kira-kira 1,000 orang hadirin itu. “Ada satu perkara yang saya minta sebelum saya bercakap tentang nasib bahasa kita, iaitu bila ada pilihan raya, saya harap anda semua gunakanlah kuasa undi dan undilah siapa saja tapi jangan undi Umno,” ujarnya, seraya mendapat tepukan gemuruh dan teriakan takbir oleh para hadirin.

Dalam ucapannya yang diselang-selikan dengan pendeklamasian puisi itu, A Samad terus membuat penegasan bahawa beliau tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya hanya dimanfaatkan.

“Saya tidak ada parti tapi hanya meminjam pentas parti. Saya bukan diperalatkan tapi dimanfaatkan. Dengan itu, kita berada pada situasi menang-menang. Kalau saya diperalatkan sudah tentu saya akan menjadi mangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, belia turut menegaskab bahawa hanya dua buah parti yang mampu menyelamatkan keadaan semasa iaitu PAS dan KeADILan.

“Dalam keadaan semasa saya melihat hanya PAS dan KeADILAN yang boleh menyelamatkan orang Melayu. Sekiranya orang Melayu merasakan teraniya, sokonglah dua parti ini,” katanya lagi.

Selain itu, A Samad menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan bahasa Melayu dalam program “Kembara Kasih bahasa”.

“Saya rasa terpanggil bahawasanya dalam sisa-sisa usia saya inilah untuk saya berlawan dan dengan semangat inilah saya akan menjelajah untuk memperjuangkankan bahasa saya.

“Saya bersedia kembali ke negeri Kedah ini dengan syarat anda semua bekerja untuk menumbangkan pemimpin-pemimpin yang sombong,” ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Program berkenaan dianjurkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah.

Setiausaha Potik Menteri Besar Kedah, Mohd Sanusi Mod Noor telah menyampaikan ucapannya mewakili Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Setiausaha GMP, Hasni Abas turut menyampaikan ucapan. Majlis juga diselang-selikan dengan bacaan puisi oleh penyajak, Pak Salleh Bakar, tokoh sastera, Azizi Haji Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim._

Bahasa lebih penting daripada wang ringgit – A. Samad Said March 16, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari harakahdaily:

TAIPING, 16 Mac (Hrkh) � Wang bukan segala-galanya. Begitulah dinyatakan oleh Tokoh Sastrawaan Negara, Dato A. Samad Said ketika melancarkan Gerakan Kerja Badan-badan NGO Islam dan kaum India/Cina sempena menjelangnya Pilihan Raya Kecil Kerusi Parlimen P-59 Bukit Gantang di Markaz PASTI, Kampung Boyan dekat sini petang semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan Pilihan Raya P-59 diadakan pada 7 April depan manakala Hari Penamaan Calonnya 29, Mac ini.

“Memang wang bukan segala-galanya bagi saya. Walaupun di dunia memerlukan wang, tapi saya tetap berkehendakkan maruah mertabatkan Bahasa Melayu dalam sains dan matematik itu dilaksanakan segera disekolah-sekolah sebagai keutamaan mutlak daripada wang,� katanya.

Beliau menegaskan, sejak awal Tun Dr Mahathir Mohammad memperkenalkan PPSMI itu, telah heboh diperkatakan oleh tokoh bahasa negara akan kesan dan akibatnya terhadap pembelajaran murid-murid Melayu dalam sains dan matematik berpenghantar Inggeris itu.

Kata A. Samad, setelah digunakan beberapa tahun kaedah tersebut, hasil kajian profesional membuktikan kemampuan pelajar-pelajar menggunakan bahasa Inggeris dalam peperiksaan itu bertambah lemah dari tahun ke setahun hingga kini.

Disebabkan tidak sanggup lagi menerima kesan buruk akibat pengunaan PPSMI terhadap generasi kita, maka saya sanggup berada bersama Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di hari protes PPSMI, 7, Mac lalu dan telah terkena gas pemedih mata serta tembakan pancutan mariam air terhadap kami petang itu, katanya.

“Walaupun kedua-dua belah mata saya pedih, tapi saya rasa “enak dan puas” kerana dapat bersama mempertahankan untuk memansukan segera PPSMI itu,” jelasnya.

Bagi beliau, PPSMI itu adalah seumpama gas pemedih mata juga kerana kalau lambat diubati dengan memakan garam sedikit serta membasuhnya dengan air maka ianya akan bertambah parah, kucar-kacir murid-murid Melayu kesudahannya.

“Itulah sebabnya saya berada seimggu di sini menjelaskan betapa pentingnya PPSMI dimansuhkan segera dengan diajar dalam Bahasa Melayu,” kata Samad. – mns_

Janggut Saari Sungip ditarik Khir Toyo March 13, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari Harakahdaily

SHAH ALAM, 12 Mac (Hrkh) – Ketua Pembangkang Dun Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menarik janggut Adun Hulu Klang, Saari Sungib sambil memberi amaran keras supaya jangan membabitkan isterinya dalam isu pembelian dua kereta Mercedes dan sebuah Range Rover.

Amaran keras Khir itu dilakukan di luar dewan Dun selepas Saari mendedahkan penyelewengan dalam Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang membeli sebuah Range Rover bernilai RM500,000.

Katanya, Range Rover itu dibeli untuk kegunaan syarikat tetapi setelah kenderaan itu sampai ia telah diberikan kepada isteri Pengerusi KDEB.

Khir yang menunggu Saari di luar dewan berkata; “‘You’ serang isteri saya. ‘You’ jangan serang isteri saya, you hendak serang saya tak apa, jangan serang isteri saya. Isteri saya tidak boleh memandu.”

Saari menjawab; “Saya bertanya untuk disiasat selepas itu beri jawapan, saya cakap ia diguna pakai oleh syarikat.”

Khir membalas; “Awak orang tua awak mesti semak dengan tepat, jika isteri saya terdakwa, saya tidak akan maafkan awak, tuntut di akhirat.”

Pada mulanya Saari beranggapan Khir hanya bergurau dengan menarik janggutnya tetapi ternyata Khir serius dan penuh emosi.

Bagaimanapun, amaran itu tidak menakutkan beliau untuk terus mendedahkan segala penyelewengan yang telah dilakukan ketika Khir menjadi Menteri Besar demi kepentingan rakyat negeri Selangor.

Sebenarnya, kata beliau, isu KDEB itu sudah lama iaitu setelah seminggu menjadi wakil rakyat maklumat itu telah sampai terutama SUK tidak boleh masuk kerana ada orang yang membuat kerja ambil dokumen takut bukti hilang.

Katanya dalam sidang penggal pertama perkara itu tidak sesuai untuk didedahkan sehingga perbahasan menjunjung titah ucapan Tuanku Sultan Selangor, tengah hari tadi.

Beliau menganggap Khir bukan mengancam tetapi hanya menunjukkan rasa tidak puas hati dan beremosi. – lanh _

Polis benarkan himpunan esok, rakyat ‘tetamu’ Istana Negara March 7, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) – Polis telah membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) esok dan sebagai satu ‘signal’ positif bahawa pihak berkuasa sanggup bekerjasama dengan rakyat yang mahu menyuarakan hasrat mereka terhadap dasar yang cuba meminggirkan Bahasa Melayu selama ini.

Bagaimanapun, permit dibenarkan untuk perhimpunan di Masjid Negara sahaja dan tidak di dua lokasi yang berbeza iaitu Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo malah perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memo juga tidak dibenarkan.

Sungguhpun begitu, Timbalan Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Suhaizan Kaiat berkata pihaknya sedang berurusan dengan pihak polis pagi ini bagi membenarkan perarakan diadakan daripada Masjid Negara ke Istana Negara bagi mencapai matlamat mereka untuk menyuarakan bantahan kepada Yang Di-Pertuan Agong melalui memo yang bakal disampaikan.

“Istana Negara telah bersedia untuk menerima memo tersebut. Jadi kita mahu berarak daripada masjid negara ke Istana Negara dan berharap polis akan benarkan.

“Kalau penjajah pun boleh membenarkan perhimpunan membantah Malayan Union, takkan kerajaan sendiri pun tak dapat benarkan sedangkan rakyat dianggap sebagai ‘tetamu’ Istana Negara,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Oleh yang demikian katanya, rakyat tidak perlu bimbang untuk hadir menyertai himpunan ini kerana ianya sah di segi undang-undang walaupun ianya terhad di lokasi tertentu dan berharap seluruh rakyat Malaysia akan sama-sama memberi sokongan kepada perjuangan memartabatkan bahasa.

“Polis dah benarkan dan rakyat tidak perlu takut. Hadirlah bersama keluarga, sahabat atau sesiapa sahaja untuk menzahirkan sokongan seterus membantah dasar PPSMI yang sudah jelas mengundang masalah kepada para pelajar khususnya kepada yang duduk di luar bandar,” katanya.

Jam 3.00 petang ini satu mesyuarat khas berhubung himpunan esok aan diadakan di Pena untuk memastikan kelancaran perjalanan majlis dan perarakan tersebut.

Sistem beraja kekal, pelaksanaan yang bermasalah – Prof Dr Aziz Bari March 5, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari Harakahdaily

SHAH ALAM,5 Mac (Hrkh) – Tidak timbul soal membuang sistem beraja kerana apa yang menjadi perbincangan hari ini ialah cara kuasa-kuasa dan kedudukan raja digunakan di dalam sistem yang ada sekarang. Demikian antara kesimpulan forum mengenai Raja Berperlembagaan dan kemelut di Shah Alam baru-baru ini.

Forum anjuran Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) itu disertai oleh dua orang panelis; Peguam Haji Sulaiman Abdullah dan Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Dipengerusikan oleh Prof. Madya Zainal Kidam dari UNISEL forum itu turut mengundang Dato Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Wanita Umno, yang bagaimanapun mengundur diri di saat-saat akhir. Seorang pensyarah UKM yang pada awalnya bersetuju untuk mengambil tempat Kamilia juga mengundurkan diri.

0Dalam pembukaannya Abdul Aziz menghuraikan beberapa ciri penting perlembagaan-perlembagaan negeri yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada perlembagaan negara. Katanya di sembilan negeri yang mempunyai raja perlembagaan negeri dibahagikan kepada dua.

Aziz berkata konsep raja berperlembagaan telah bermula sejak Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke 15 lagi. Beliau menjelaskan meskipun konsep tersebut tidak di dalam bentuk yang ada sekarang Raja-Raja sebenarnya dikekang oleh prinsip Islam yang menjadi tunjang kepada Kanun Melaka.

“Kita perlu membezakan apa yang ada dalam undang-undang yang di dalam konteks kanun itu ialah hukum syariah dengan cerita penglipur lara dan filem yang menggambarkan bahawa sultan mempunyai kuasa mutlak yang tiada batasnya. Sedangkan kita ada peribadi-peribadi seperti Sultan Alauddin Riayat Shah yang mempunyai keperibadian unggul yang malangnya tidak pernah dijadikan filem,” katanya.

Hari ini, Aziz berkata, Raja-Raja tidak mempunyai kuasa mutlak meskipun kuasa melantik menteri besar itu disebut sebagai budibicara. �Apa yang mutlak ialah sebelum 1959 apabila menteri besar merupakan lantikan peribadi Raja-Raja. Selepas itu pilihan raya umum diadakan dan sultan dikehendakki mematuhi prinsip demokrasi meskipun peruntukan yang berkenaan menyebut sebagai budibicara�, jelasnya.

Dalam hujahnya Sulaiman Abdullah Raja-Raja melalui zaman getir di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Ketika itu, kata Sulaiman, Mahathir dianggap raja sebenar kerana tindakan-tindakannya.

Selain Raja-Raja, katanya lagi, badan kehakiman juga turut menerima kesan yang negatif terutamanya apabila bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd. Salleh Abas dipecat pada 1988.

Sulaiman mencadangkan supaya sekurang-kuranya ada dari kalangan Raja-Raja yang mempunyai kelayakan iktisas dalam pengajian Islam.

“Ini kerana ada Raja-Raja yang telah berjaya mendapat kelulusan dalam bidang lain seperti undang-undang dan oleh itu sangat wajar berdasarkan kepada kedudukan mereka sebagai ketua agama untuk Raja-Raja mempunyai kelayakan yang sesuai dalam bidang agama,” tegasnya.

Forum yang berlangsung lebih dua jam itu mengundang pelbagai soalan dari hadirin yang rata-rata menimbulkan banyak soalan tentang krisis politik di Perak.

Bagaimanapun di saat akhir forum seorang bekas komando menimbulkan sedikit kegelisahan apabila beliau membangkitkan apa yang beliau rasakan sebagai penghinaan kepada Raja-Raja Melayu.

Tanggapan itu bagaimanapun disanggah oleh Sulaiman yang menyatakan bahawa forum itu sendiri membuat kesimpulan bahawa institusi beraja tetap kekal dan relevan dan apa yang dibincangkan ialah kesilapan dan kekurangan; sesuatu yang wajar dan sihat untuk diteruskan supaya institusi berkenaan sentiasa berada di landasan yang betul.