jump to navigation

Bukan Sahaja Terengganu Bergolak – UMNO Kelantan Pun Sama September 9, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
1 comment so far

Heboh kononnya UMNO semakin kuat selepas PRK Manik Urai nampaknya tidak benar terutama bila kita lihat prestasi UMNO di Permatang Pasir.

Malah UMNO bergolak bukan sahaja di Terengganu, tetapi mereka mempunyai masalah ini hampir di mana-mana. Dengan PRK terbaru bakal diadakan di Bagan Pinang dengan masing kem telah mengutarakan calon mereka, UMNO Kelantan pun turut bergolak. Baca selanjutnya dari laporan Berita harian ini:

**********************************

Awang Adek ketuai pasukan khas selesai masalah dalaman

KOTA BHARU: Badan Perhubungan Umno Kelantan melantik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Dr Awang Adek Hussin, mengetuai pasukan khas menangani masalah dalaman yang berlaku dalam bahagian di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pelantikan ini penting bagi membolehkan sebarang isu yang mampu menjejaskan imej parti, dapat diatasi serta diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Katanya, pendekatan yang diambil Umno negeri dalam menangani isu berbangkit ialah dengan mengadakan perbincangan membabitkan pengurusan daripada Badan Perhubungan Umno negeri dengan bahagian terbabit.
“Sekiranya wujud masalah dalaman parti yang kita rasa boleh menjejaskan parti, maka kumpulan itu akan mengadakan perbincangan dengan bahagian Umno terbabit dan kaedah ini dilihat cara terbaik ke arah memantapkan parti dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media, kelmarin.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, selepas Aidilfitri ini, Badan Perhubungan Umno negeri akan menghidupkan semula ceramah bulanan yang dihentikan sementara sempena Ramadan.

Katanya, pendekatan kali ini agak berbeza dengan yang dilaksanakan sebelum ini, dengan lebih membabitkan penceramah di kalangan pemimpin parti.

“Sebelum ini, penceramah hanya membabitkan penyokong parti dan kali ini Umno akan mengetengahkan pemimpin kerana dalam konteks Kelantan, kita rasakan penceramah terbabit mampu menarik lebih ramai masyarakat negeri ini untuk mendengar sekali gus menyokong Umno,” katanya.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, beliau berkata, Umno Kelantan akan menyokong sebarang calon Umno yang dipilih untuk bertanding bagi kerusi berkenaan.

“Umno Kelantan tetap bersama dengan rakan Umno dari negeri lain akan memberikan sokongan terhadap sebarang calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan Umno negeri itu,” katanya.

Ahmad Said Tolak Tawaran Menjadi ‘Menteri Pusat’ September 9, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Ahmad Said dikatakan “fighter”kan – takkan nak mengalah gitu sahaja. Kalau setakat ke Pusat, selamatlah dia. Lepas tu Derih balik, habis dia. Dana lebih banyak di Wisma Darul Iman dari jadi menteri pusat. Silap-silap haribulan, lepas berundur dari MB, tak  dilantik senator. Habis cerita!

dipetik dari: http://buletinonline.net/

********************

KEMAMAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Ahmad Said berkeras mahu mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar negeri Terengganu dan menolak jawatan ’lumayan’ sebagai Menteri Pusat. Sumber dalaman memberitahu, Ahmad akan dilantik sebagai Senator dan kemudian ’menteri penuh’

sebagai ’pertukaran’ supaya beliau mengosongkan kerusi Menteri Besar Terengganu.

Tawaran pertukaran jawatan tersebut didakwa sumber itu, dibuat oleh kepimpinan Umno Pusat kepada beliau bagi meredakan krisis dalaman Umno Terengganu.

Namun, sumber tersebut yang menghubungi Buletinonline hari ini berkata, Ahmad menolak tawaran tersebut dan berkeras, mengekalkan ’status’nya yang dianggap amanah diberikan kepadanya oleh Sultan. (Gambar – Hanya penyokong Ahmad Said hadir Majlis Muhyidin di Hulu Terengganu)

Ura-ura untuk melantik Ahmad sebagai Menteri Pusat telah didedahkan oleh Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat@Ramly dalam laman blognya semalam.

Krisis kepimpinan Umno Terengganu kian meruncing apabila ADUN Umno memboikot majlis berbuka puasa Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Muhyiddin dipetik berkata majlis tersebut dianjurkan kerana krisis Umno negeri Terengganu “adalah kritikal” dan perjumpaan tersebut adalah untuk memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap.

Muhyidin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau, yang juga timbalan perdana menteri telah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan dua kumpulan tersebut, antara pemimpin pro-Idris dengan pro-Ahmad.

Namun, tawaran Muhyidin tersebut tidak diambil peduli oleh kumpulan 15 ADUN Umno yang memang telah merancang, sengaja memboikot majlis tersebut kerana menurut mereka, ia tidak membantu menyelesaikan konflik dalaman parti itu.

Justeru, selepas itu, menurut sumber dalaman itu, Ahmad telah ditawarkan untuk dilantik sebagai menteri pusat.

”Oleh kerana Ahmad menolak tawaran tersebut, pemimpin Umno sedang memikirkan langkah-langkah selanjutnya bagi menangani krisis yang telah berlanjutan,”tambahnya.

Krisis kepercayaan terhadap Ahmad bermula hujung Mac tahun 2008 apabila bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Diris Jusoh tidak diperkenankan oleh pihak istana untuk disambung perkhidmatannya.

Kumpulan yang pro Idris telah memboikot pelantikan Ahmad dan Ketuanya, ADUN Ajil, Dato’ Rosol Wahid berkata mereka sanggup meletakkan jawatan dari tunduk kepada Ahmad sebagai Menteri Besar.

Kumpulan tersebut sekali lagi menggemparkan politik tanah air pada April lalu apabila mendakwa mendapat ’SMS mengugut bunuh’ lalu memboikot sidang Dewan Undangan Negeri kerana merasakan ’diri mereka tidak selamat’.

Ekoran kes tersebut, bekas Setiausaha Politik Idris, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir telah ditahan polis dan dituduh menghantar SMS mengugut bunuh itu.

Kilang bihun dekat kandang babi September 7, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
1 comment so far

Kalau nak diambil tindakan banyak ruang yang ada. Kalau hendak seribu daya.

****************************

Kedudukan tak sampai 100 meter, tahap kebersihan diragui pengguna Islam

TASEK GELUGOR: Tidak sensitif dengan keperluan pengguna Islam, sebuah kilang bihun dan laksa di Kampung Selamat di sini, beroperasi tidak sampai 100 meter dari kandang babi, sekali gus diragui tahap kebersihannya.

Kilang yang mengeluarkan produk yang turut popular di kalangan umat Islam di negeri ini, jelas gagal mematuhi garis panduan halal ditetapkan pihak berkuasa agama.

Mengikut Manual Prosedur Kerja Dalam Persijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebuah premis atau kilang memproses makanan hendaklah berada sekurang-kurangnya lima kilometer (km) dari pusat ternakan terutama kandang babi.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan kilang berkenaan mendapati keadaan sekelilingnya kotor dan dicemari bau busuk, dipercayai berpunca dari kandang babi berdekatan.

Longkang berhampiran kilang itu juga kotor dengan air berwarna kehijauan yang menjijikkan, sekali gus menunjukkan pengusaha kilang mengabaikan aspek kebersihan walaupun mengeluarkan produk makanan.

Longkang juga didapati tidak berfungsi dengan sempurna dan turut menyumbang kepada bau busuk di kawasan berkenaan.

Apa yang memeranjatkan, premis yang sudah beberapa kali diperiksa pihak berkuasa seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Kesihatan, tetap dibenarkan beroperasi dengan alasan produk mereka tidak memaparkan logo halal.

Sebaliknya, mereka hanya didenda oleh Kementerian Kesihatan berikutan kebersihan di premis berkenaan yang kurang memuaskan.

Berita Harian yang menghubungi kilang berkenaan diberitahu oleh kakitangannya bahawa produk dikeluarkan mereka adalah halal serta mendapat sambutan dari kalangan pengguna Islam.

Produk berkenaan terutama bihun dan laksa menggunakan beberapa cap yang memaparkan sayur-sayuran, haiwan dan masjid.

Tinjauan ke beberapa kedai runcit sekitar negeri ini mendapati produk yang tidak diiktiraf sebagai halal itu dijual bersama barangan yang mempamerkan logo halal dan ini jelas mengelirukan, terutama umat Islam.

Malah, bungkusan laksa yang memaparkan imej masjid seolah-olah ingin menunjukkan bahawa produk itu adalah halal.

Peniaga yang ditemui berkata, pihaknya menerima bekalan bihun serta laksa daripada kilang berkenaan kerana yakin ia halal berikutan tiada kandungan yang meragukan mereka.

Bagaimanapun, ada juga peniaga yang tidak mengambil bekalan berkenaan kerana sudah dilarang selepas serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa beberapa tahun lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JHEAIPP, Faizal Ibrahim, berkata pihaknya memandang serius perkara berkaitan halal atau haram kerana ia menjadi tuntutan Islam supaya umatnya hanya menikmati makanan halal.

“Kami pernah membuat pemeriksaan di kilang di Kampung Selamat selepas menerima aduan, bagaimanapun, kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka tidak memaparkan logo halal pada bungkusan produknya.

“Pengguna harus bijak ketika memilih barangan makanan, sekiranya ada perasaan syak wasangka dan ketiadaan logo halal diluluskan pihak berkuasa, jangan beli makanan itu,” katanya.

dipetik dari Beritaharianonline

Amaran Najib Kepada Rosol September 5, 2009

Posted by ibrahimbaba in Kerajaan, Melayu, Terengganu, UMNO.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

“Jangan cabar saya macam Ibrahim Fikri cabar ayah saya dulu” begitulah lebih kurang bunyinya kata-kata Najib Tun Razak kepada Rosol Wahid ketika Rosol membawa suara tidak senang hati kem Derih Jusoh terhadap MB Ahmad Said kepada PM beberapa bulan lalu.

Tidaklah IB ingin ketengah sangat apa yang IB dengar dua bulan lalu kerana, tidak pasti kesahihannya. Kedua tidak pula dapat IB sahkan apa yang sebenarnya dikatakan oleh bekas Menteri Besar Terengganu Ibrahim Fikri kepada Tun Razak dulu (betul ke pernah ada perjumpaan seperti itu?). Pernah IB bertanya dengan beberapa orang yang pernah rapat dengan arwah Ibrahim untuk pengesahan – tidak pula dapat IB pastikan bahawa pernah berlaku Ibrahim Fikri mencabar Tun Razak. Maka IB tidak mahu teruskan khabar berita tersebut.

Namun dengan melihat kemelut di Terengganu semakin parah dan sukar untuk nampak arah penyelesaiannya walaupun dua pimpinan kanan pusat datang pun lebih separuh dari pimpinan negeri UMNO masih berkeras untuk boikot – sememangnya kalau benar ada sesi “cabar-mencabar” Rosol dengan Najib tu – mungkin adalah kebenarannya sedikit sebanyak kot. Memang bagai dikatakan IB dulu Terengganu Lebih Parah Dari Perak.

Sepertimana yang IB pernah sebut dahulu – negeri Terengganu semenjak ianya negeri miskin sehingga ianya menjadi kaya raya dengan hasil mahsul minyaknya, rakyatnya tetap tersisih akibat perebutan kuasa para pemimpin UMNO. Di zaman pemerintahan yang begitu lama Wan Mokhtar – saingan kerap dilihat datang dari Utara juga (Yusof Nor).

Sekarang pun di bawah pimpinan dari Kemaman – saingannya pun dari daerah Besut juga. Yang merana dan terabai ialah rakyat jelata. Yang mengaut keuntungan ialah di kalangan pimpinan. Sepanjang BN memerintah negeri Terengganu (walaupun kaya dengan hasil minyaknya) Terengganu kekal terperosok di tangga terakhir di kalangan negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan BN.

Kalaulah cabaran Rosol dapat meletakkan Terengganu di atas semua negeri-negeri lain selari dengan pendapatan yang tinggi dari hasil minyak – berbaloilah. Mungkin Rosol boleh dapat satu sokongan dari IB.

Sekian, IB