jump to navigation

Perhimpunan Masyarakat Madinah Bukan Demonstrasi – Respons Kepada Kenyataan Dr. Tareq al-Suwaidan August 6, 2011

Posted by ibrahimbaba in Anwar, Islam, politik.
trackback

Berikut adalah satu kupasan yang baik sekali oleh seorang sahabat IB berhubung isu menyamakan demonstrasi haram BERSIH dengan perhimpunan masyarakat Madinah ketika menyambut Rasulullah s.a.w.

Sekian, IB

– kebenaran diberi untuk disalin untuk sebaran.

********

PERHIMPUNAN MASYARAKAT MADINAH BUKAN DEMONSTRASI

RESPONS KEPADA KENYATAAN DR. TAREQ AL-SUWAIDAN

‘Abdullah Faqir Bugis

MUQADDIMAH

Ekoran dari Perhimpunan Bersih (PB) baru-baru ini, satu program-ceramah susulan dibuat untuk memberi justifikasi kepada perhimpunan tersebut. Penceramah ini ialah Dr. Tareq al-Suwaidan yang dikatakan pimpinan Ikhwan Muslim Kuwait. Dia dilaporkan oleh dua portal berita pembangkang iaitu Keadilan Daily dan Harakah Daily, mengaitkan demonstrasi PB dengan peristiwa Perhimpunan Masyarakat Madinah (PMM), menyambut kedatangan Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam semasa peristiwa Hijrah. Beliau mahu menyakinkan masyarakat Islam Malaysia bahawa demonstrasi tersebut adalah ‘sunnah’ yang tidak salah di sisi ajaran Islam.

LATAR BELAKANG PERHIMPUNAN

Ketahuilah, PMM yang dirujuk oleh Dr.Tareq sebagai demonstrasi itu, tidak boleh disamakan dengan PB, baik dari segi latar belakang, sebab, tujuan mahu pun ruh atau semangat. Qiyas yang dipakainya adalah qiyas ma‘al fariq atau qiyas sayong yakni jauh panggang dari api. Kedua-duanya tidak boleh dikaitkan langsung. Juga tidak boleh digunakan mana-mana qaedah Usul al-Fiqh atau Maqosid Syari‘ah untuk menyamakan keduanya.

ANALOGI SALAH

Dari segi latar belakang, peristiwa PMM ini, amat berkait rapat dengan Hijrah al-Rasul. Mereka berhimpun untuk menyambut kedatangan Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam (Terdahulu, DS Abdul Hadi Awang pernah berkata, Sayyidina ‘Umar al-Khattab radiyallahu ‘anhu adalah orang yang pertama berdemonstrasi dalam peristiwa beliau r ‘a mengishtiharkan keIslamannya, di Makkah). PMM ini berlaku kesan dari kesedaran ruhaniyyah pada paras nafsu mardiyah, yang terbit dari lubuk hati yang suci murni dan bersih, untuk menerima dan mengalu-alukan kedatangan Cahaya Kebenaran dengan kepatuhan dan syukur. Ada pun terjadinya PB pula, adalah tercetus dari hati yang dirangsang oleh nafsu ammarah bissu’, bersifat memprotes dan menuntut sesuatu dari satu pihak tertentu untuk menegakkan kehendak manusiawi yang bersifat ghaflah duniawi. PMM tidak ada apa-apa unsur-unsur protes atau menuntut, bahkan bersifat takzim kepada nikmat Ilahiy.

PMM terjadi secara spontan tanpa ada penganjur, perancangan dan kerahan. Mereka keluar beramai-ramai atas kesedaran Ilahiyyah yang mendalam. Ada pun PB terjadi, kerana dianjur, dirancang dan mendapat sokongan kuat dari Kuffar dan Musyrikun. Para demonstrannya pula dikerah dan sesetengahnya terpaksa hadir. Ini adalah sifat biasa dalam sesuatu demonstrasi jalanan.

PMM bertujuan mengalu-alukan,menyambut dan menjunjung kedatangan Peribadi Agung yang membawa Cahaya Kebenaran Yang Abadi, dari Tuhan Semesta ‘Alam, bagi menyuluh dan memandu kehidupan mereka, keluar dari kegelapan Jahiliyyah kepada Kecerahan Ilahiyyah dan Nabawiyyah.Mereka menyambutnya dengan penuh takzim dan gembira paling puncak, yang tidak dapat ditulis oleh perkataan dan tidak dapat diucapkan oleh lidah, hanya dapat dinikmati oleh mereka itu sahaja.

PB bukan bersifat mengalu-alukan Cahaya Kebenaran ini yakni Islam, bahkan menolaknya dengan kuat seperti Ambiga, Kit Siang bahkan Anwar. PB tidak menyambut mana-mana peribadi bersih lagi mulia, bahkan menyambut kedatangan Musyrikun dan Pluralis Agama yang membawa konsep dan doktrin kufur. Ternyata dan terbukti, golongan inilah yang telah memprotes pelaksanaan Risalah Ketuhanan di Malaysia bukan menyambutnya dengan penuh hormat sebagai rahmatan lil ‘alamin. Dr.Tareq kena faham betul-betul hal ini sebelum membuat analogi tersebut.

Yang menghadiri PMM adalah terdiri dari Ahlu’llah, ahli Ma‘rifah dan pejuang serta penegak Syari‘at. Mereka bergembira kerana Allah, Tuhan mereka, menghantar Rasul-Nya, ketengah-tengah mereka.

Dr.Tareq Al-Suwaidan telah mencemarkan bahkan menjatuhkan maruah Rasul sollallahu ‘alayhi wa sallam yang mulia itu,dengan mengandaikan sambutan terhadap Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam itu sebagai demonstrasi seperti PB menyambut pemimpin ghaflah duniawi mereka yang penuh dengan maksiat itu. Dalam PMM tidak ada protes, hiruk-pikuk, sorak-sorai, ejekan, kata-kata nista dan menghina seperti perhimpunan lawatan seseorang yang dibenci. Bahkan orang ramai yang berhimpun menyambut kedatangan Nabiyy sollallahu ‘alayhi wa sallam itu, sentiasa dalam berzikir mengingati Allah, bernasyid memuji-muji Baginda sollallahu ‘alayhi wa sallam dengan penuh kekhusyukan,ketenangan dan ‘izzah Mukminin.Tidak ada perkara ini dalam PB.

Para peserta PMM yang mulia itu, walaupun mempunyai pengalaman yang amat pahit berjiran dengan Yahudi, namun mereka tidak menuntut apa-apa pun dari pemimpin yang diutus Allah ini, supaya Yahudi itu dihalau atau dibunuh, sehinggalah Yahudi mengkhianati Rasul dan Negara Madinah. Mereka tahu bahawa, pemimpin ini, sollallahu ‘alayhi wa sallam mempunyai kekuatan luar biasa. Mereka mengetahui semua ini, melalui  siri-siri perjumpaan dengan Baginda s‘aw lama sebelum Hijrah dan juga melalui Bay‘ah ‘Aqabah Pertama dan Kedua. Tidak ada sedikit pun perasaan untuk membalas dendam dan kebencian dalam kalbu mereka itu. Orang Yahudi awal-awal-awal lagi telah menjauhi diri dari PMM ini! Dalam zaman moden, Mohd Natsir, bekas Perdana Menteri Indonesia yang disita dari berpolitik oleh Soekarno, tidak mengambil apa-apa tindakan agresif dan anarki menentangnya, pada hal beliau mampu berbuat demikian. Yang menariknya, beliau memenuhi permintaan Soekarno supaya menolong memperbaiki reputasi buruk Indonesia di mata negara-negara Arab.

PMM tidak dianjurkan oleh Musyrikun seperti Ambiga, Kit Siang dan Pluralis seperti Anwar serta orang Syi‘ah pro Khumayni yang mengkafirkan Sayyidina Abu Bakar r ‘a dan dihadiri oleh pelacur (diberitakan, pelacur telah memberhentikan bisnes pada hari itu, kerana menghadiri PB), bahu membahu menuntut sesuatu yang mempunyai tujuan dan motif yang berbagai-bagai, bukan tuntutan untuk menegakkan Syari‘a. (Memang ada orang ‘alim dan baik seperti DS Abdul Hadi, tetapi ibarat air mutlak yang sedikit, jika bercampur dengan air najis yang banyak, maka air mutlak yang sedikit itu, akan hilang kemutlakannya kerana dilarut oleh air najis). Dalam PMM, tidak ada seorang pun pelacur jasmani, tidak ada pelacur politik dan tidak ada liberalis-pluralis, mereka semua adalah Mukminin sejati. Maka tidak sama PMM dengan PB.

Mungkin ada yang berhujah bahawa PB bertujuan menuntut dan menegakkan keadilan dan ini adalah Islamik. Jawab kami, keadilan yang dituntut Bersih bukan Keadilan Fundamental seperti dituntut oleh Islam bahkan dalam PMM tidak ada sebarang tuntutan pun.Tuntutan keadilan dalam Islam ialah menegakkan Keadilan Fundamental  dari Kebenaran Ilahi. Mahukah Ambiga,Kit Siang bahkan Anwar sendiri, menegakkan Keadilan Fundamental ini, mengikut ajaran Islam seperti yang termaktub dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijma‘? Al-‘adl dalam terminologi al-Qur’an, merujuk kepada konteks ayat dan tidak dalam konteks demokrasi-kontekstual, seperti yang dituntut Ambiga-Anwar itu.Ia juga tiada kena mengena dengan falsafah dan doktrin serta konsep politik demokrasi.Oleh yang demikian, tuntutan untuk lebih ‘adil dan transparens dalam sistem demokrasi kepartian ini, jangan dikaitkan dengan PMM itu.PMM ialah untuk menegakkan Keadilan Fundamental sedangkan PB mahu menegakkan keadilan subjektif bahkan kontekstual diabolik.Bukan sahaja ia tidak sama dari segi lahiriah, bahkan dari segi roh-semangatnya pun tidak sama dengan PMM, malah tidak boleh dibandingkan langsung.

Cara PB menuntut keadilan ini pun adalah satu kezaliman dan bersalahan dengan ajaran Islam.Bagaimana Dr. Tareq boleh membenarkan cara Bersih menuntut keadilan, pada hal ia menatijahkan kezaliman: zalim kepada peniaga,kerana rugi perniagaannya; zalim kepada pesakit, kerana tidak dapat ke hospital dan zalim kepada para jemputan kenduri, kerana  gagal sampai dan zalim kepada tuan kenduri kerana kendala kendurinya dan zalim kepada makanan kerana membazir.

Dalam ceramahnya itu, Dr.Tareq juga dikatakan memberi komen kepada sistem politik dan kehakiman Malaysia.

Dr. Tareq mempertikaikan pilihan raya Malaysia yang didakwanya tidak bebas, tidak ‘adil dan tidak bersih. Mungkin ada disana sini yang perlu dibaiki, tetapi bagimana sikap beliau terhadap pemilihan pimpinan dalam parti PKR baru-baru ini?.Apa pula komen beliau mengenai kemenangan besar PR dalam PRU 12 dan baru-baru ini di Sarawak? Kalau benar Dr. Tareq ahli Ikhwan Muslimin, maka amat malang bagi Ikhwan mempunyai ahli dan pemimpin seperti ini yang tidak berhati-hati dalam memberi pendapat. Beliau tidak teliti, bahkan tidak bersifat adil. Bagaimana beliau boleh bercakap atas nama bebas, ‘adil dan bersih, pada hal beliau tidak bebas dan terikat dengan pandangan Anwar-PKR. Beliau juga dilaporkan berkata, sistem kehakiman Malaysia berada dalam kocek pemerintah.Apa pula komen beliau ketika mahkamah membebaskan Anwar dahulu? Dalam kes mahkamah sekarang, beliau berkata Anwar difitnah. Pernahkah beliau berjumpa dengan semua pihak yang terlibat mencari fakta untuk membuat penghakiman yang adil? Bolehkah dikatakan adil, hanya berdasarkan maklumat sebelah pihak sahaja ? Perhatikan bagaimana Hasan al-Banna rh, Mursyid Ikhwan pertama, mengendalikan kes pergaduhan, yang mana beliau tidak menerima bulat-bulat aduan sebelah pihak tetapi mahu mendengar pihak yang satu lagi. Ini barulah adil. Tapi Dr. Tareq tidak berbuat seperti Mursyidnya itu. Beliau telah menjejaskan reputasi Ikhwan dimata orang Islam. Inilah kehendak Yahudi dan kawan-kawannya. Agaknya tanzim Ikhwan, kalau benar-benar beliau ahli Ikhwan, tidak begitu menjadi kepada beliau. Beliau perlu ikuti semula usrah paling basik.

KESIMPULAN

PMM adalah Perhimpunan Kesyukuran kerana kedatangan Rahmat Yang Abadi. Sementara Peristiwa Hijratu’r- Rasul sollallahu ‘alayhi wa sallam, adalah peristiwa  Agung, yang membebaskan manusia bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan dari manipulasi dan kerakusan manusia; membebaskan manusia dari perhambaan manusia diabolik  dan membebaskan manusia dari perhambaan sistem Kuffar dan Musyrikun. Ada pun peristiwa PB, adalah mahu mengukuhkan lagi cengkaman perhambaan manusia kepada manusia, melalui sistem Kuffar yang telah dimusnahkan oleh PMM itu. Peristiwa Agung ini menatijahkan tertegaknya satu sistem paling  ‘adil:  ‘adil dalam ‘Aqidah, Syari‘at, Akhlaq dan dalam segala aspek kehidupan. Hijrah berjaya membina Peradaban dan Tamaddun luhur yang abadi. Sementara PB pula, telah memusnahkan kehidupan masyarakat seperti yang telah disebut terdahulu.

Perlu diperhatikan, Peristiwa Hijrah ini, adalah peristiwa meneruskan proses pembinaan jati diri manusia, melahirkan insan soleh.Peribadi luhur ini,memiliki ‘Aqidah  murni, tidak syirik, tidak menganut apa-apa fahaman modernisme  dan pasca modernisme seperti anti otoriti terutama dalam ilmu agama, berfahaman pluralisme agama dsb; memiliki akhlak yang mulia seperti tidak berzina, tidak berbohong, berkasih sayang sesama Muslim, keras kepada kekafiran, berjihad untuk menegakkan kebenaran Ilahiy,bertawajjuh kepada Allah, menyayangi Rasul dan keluarganya dan memiliki  sifat-sifat kesempurnaan yang lain dan tidak menganut fahaman new moraliti Barat.

Perlu diingat, sesungguhnya, Hijratu ’r-Rasul  sollallahu ‘alayhi wa sallam , adalah atas perintah Allah ‘Azza wa Jalla. Pada malam Peristiwa Mi‘raj, Rasulullah sollallahu ‘alayhi wa sallam, melihat suatu Cahaya yang amat bergemerlapan di suatu tempat dan bertanya Jibrail ‘a.s mengenainya. Jibril ‘a.s menyatakan, itu adalah Thobah, yang nantinya Tuan hamba akan berhijrah. Benar, kemudian, Allah Yang Maha Memiliki Hikmah, telah memerintahkan Baginda sollallahu ‘alayhi wa sallam,  berhijrah ke sana, yang kemudian dinamakan al-Madinah al-Munawwarah atau al-Madinatu ’r- Rasul. Maka pandangan yang mengatakan bahawa PMM itu sebagai demonstrasi PB, tidak boleh ditakwilkan lagi, melainkan ia adalah ungkapan menghina Allah, justeru menyamakan perintah Allah Yang Maha Tinggi dengan arahan manusia, kerana Hijrah al-Rasul itu adalah perintah dari-Nya dan sebagai  Kehadiran Janji Allah. Pendirian yang menyamakan PMM dengan PB, adalah suatu jenayah agama yang tidak boleh dimaafkan.

NOTA: Saya berharap, Dr.Tareq tidak berkata seperti yang dilaporkan itu. Saya hampir percaya, ini adalah manipulasi media PKR kerana itulah sifat mereka. Mereka akan menggunakan sesiapa sahaja, jika difikirkan boleh memberi keuntungan kepada mereka. Pendirian dan doktrin politik Ikhwan Muslimin, berbeza sama sekali dengan politik PKR yang sekular itu. Bila pula Anwar menerima Ikhwan Muslimin? Untuk ingatan kita, Dato Dr. Harun Din hampir-hampir menyaman Suara Keadilan kerana memalsukan percakapan beliau. Allahu a‘lam.

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: