jump to navigation

Tolak politik tohor demi perpaduan Islam August 20, 2012

Posted by ibrahimbaba in Islam, Melayu.
trackback

Selamat Hari Raya IB ucapkan kepada semua pembaca.

Sempena hari yang mulia ini ingin IB kongsikan artikel yang dipetik dari kadirjasin.blogspot.com

Semoga dapat memberi kesedaran kepada kita semua.

Sekian, IB

17 OGOS — Dalam kita menyambut kedatangan Aidilfitri, sangat eloklah kalau kita boleh membuat satu azam baru iaitu untuk memberi makna kepada perintah Allah bahawa orang Islam adalah bersaudara.

Saya tergerak menyebut hal ini apabila membaca berita The Malaysian Insider mengenai bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, menghadapi tekanan kerana daripada parti beliau sendiri kerana berselisih faham dengan DAP dan bergesel bahu dengan pemuka Umno.

Dalam laporan itu, beliau dipetik sebagai berkata yang beliau tidak akan keluar PAS atau berhasrat menyertai Umno.

Portal berita itu berkata, tekanan ke atas Nashrudin agar keluar PAS semakin meningkat kerana beliau terus mengkritik DAP dan bergesel bahu dengan pemuka Umno.

Kalaulah laporan The Malaysian Insider itu benar, maka amat malanglah bagi PAS dan penyokongnya. Malah malang bagi semua umat Islam apabila pemimpin Islam dimarahi oleh orang Islam sendiri kerana berani berdepan dengan DAP dalam isu-isu berkaitan Islam.

Nampaknya ada orang Islam di Malaysia yang sanggup sisih menyisih antara sesama sendiri kerana mahu berpakat dengan orang bukan Islam atau semata-mata kerana hendak berkuasa.

Menurut The Malaysian Insider lagi, tekanan ke atas Nashrudin turut meningkat apabila beliau dilihat bersama Perdana Menteri, Najib Razak, di Makkah baru-baru ini.

Kalau ini betul, jelaslah ada orang Islam Malaysia yang kerana ideologi politik sanggup menolak persaudaraan Islam dan memperkecilkan semangat ibadah haji dan umrah, iaitu perpaduan, kesatuan dan kesaksamaan.

Ketika mengerjakan haji dan umrah tidak ada politik. Tidak ada merah, biru atau hijau. Yang ada ialah ihram yang putih yang menjadi simbol kesatuan dan kesaksamaan umat Islam.

Apabila parti atasi agama

Malangnya inilah yang sudah terjadi kepada umat Islam Malaysia, khasnya orang Melayu, yang sanggup tolak persaudaraan Islam demi parti, ideologi dan kuasa. Mereka sudah menjadi begitu partisan sehingga hilang akal dan pegangan.

Mereka mungkin tidak sedar atau tidak mahu mengaku. Tetapi realitinya ialah perpecahan umat Islam Malaysia, khasnya di kalangan orang Melayu, sedang diraikan oleh pihak-pihak yang tidak senang hati dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam dalam Perlembagaan dan dalam kehidupan harian.

Mereka tidak perlu lagi bekerja kuat melemahkan orang Islam dan orang Melayu kerana politik kepartian yang melampau telah pun memecah-belah dan melemahkan orang Islam dan orang Melayu.

Sikap saya dalam hal ini mudah saja. Pedulikan cakap-cakap tohor dan hambar kelompok fanatik politik ini. Saya telah dan sedang melalui pengalaman yang sama. Misalnya, apabila gambar saya hadir majlis perkahwinan anak timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, terbit dalam akhbar PAS, Harakah, ada yang membuat kesimpulan yang saya telah menyertai PAS.

Begitu juga apabila rencana-rencana saya dalam blog ini dipetik atau disiarkan langsung oleh Harakah. Hatta adik-adik saya sendiri berbisik-bisik bertanya adakah benar saya telah menyertai PAS.

Jawabnya mudah saja. Haji Mohamad Sabu dan, sebelum itu, Salahuddin Ayub, naib presiden PAS, menjemput saya ke majlis kenduri kahwin anak mereka. Oleh sebab tidak ada aral melintang, saya hadir.

Ramai juga pemuka pembangkang yang saya kenal dan mereka pula menunjukkan muhibah kepada saya walaupun mereka tahu pendirian saya.

Saya pun berasa berguna menyimpan nombor telefon mereka kerana boleh kata setiap kali saya menghantar SMS, mereka akan membalasnya dan apabila mereka tahu saya dalam keadaan pilu mereka mengucapkan takziah. Itu saja. Tetapi itu jugalah inti pati persaudaraan kita sesama Islam.

Fahaman politik bukan penghalang

Saya pun tidak bermusuh secara peribadi dengan Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng dengan mana-mana pemuka pembangkang. Saya memilih untuk bersikap sivil dan saya harap itulah juga sikap mereka terhadap saya.

Malah pada akhir-akhir ini, lebih ramai pemuka pembangkang yang mahu berkawan dan meminta pandangan saya, dan saya akan memberikan pandangan saya kepada sesiapa saja yang berjuang untuk Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia. Itu saja.

Satu lagi mengenai persahabatan. Saya mungkin telah lama berpisah jalan dengan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim. Tetapi saya tidak akan menafikan yang selama 16 tahun (1982-1998) kita berpakat dalam banyak hal demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air. Tetapi di mana saya tidak bersetuju, saya kata saya tidak setuju.

Baru-baru ini beliau menyambut hari lahirnya yang ke-65 dan saya menghantar SMS mengucapkan selamat kepada beliau. Beliau membalasnya. Saya mudah ingat tarikh lahir beliau kerana kami berbeza usia hanya 13 hari.

Jadi, janganlah kerana pemuka politik Islam/Melayu bermain politik di atas, orang Melayu dan Islam di bawah bercakaran sesama sendiri. Tak payahlah rampas-merampas pengurusan masjid dan surau atau maki-hamun dalam blog kerana perbezaan ideologi.

Orang Islam di Malaysia bukan ramai sangat — hanya 60 peratus daripada keseluruhan penduduk. Pecah dua jadi 30 peratus. Pecah tiga jadi 20 peratus. Lagipun, di segi ekonomi dan pendidikan, orang Melayu/Islam masih jauh ketinggalan. Silap-silap main politik, menang bersabung kampung tergadai, ayam jaguh jadi milik orang lain. Wallahualam.

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin. — kadirjasin.blogspot.com

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: