jump to navigation

DAP Bebas Rasuah? December 26, 2011

Posted by ibrahimbaba in Ketelusan, Perak, politik.
add a comment

dari: Peraktoday.com

Blogger Buat Laporan SPRM Ke Atas Nga Kor Ming

Pelbagai kontroversi yang berunsur fitnah dan pembohongan ditimbulkan pemimpin tertinggi DAP, Nga Kor Ming sebelum ini terhadap Barisan Nasional, namun, perkara itu masih lagi mampu ditahan sehinggalah Adun Pantai Remis itu mencabar salah seorang blogger Pro-BN baru-baru ini.

Hari ini, blogger Ahmad Sofian Yahya atau lebih dikenali sebagai ‘SekupangDua’ telah membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan Ngo ketika zaman pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak selama 11 bulan.

Menurut Sofian, sebelum ini beliau ada memaparkan isu pemberian kontrak membekal dan menjahit lounge suit untuk ahli majlis MBI dimana pentadbiran ketika itu telah memilih syarikat Ethan & Elton Sdn. Bhd yang merupakan milik isteri kepada Nga Kor Ming sebagai pembekal.

Susulan dari paparan itu, Nga kemudiannya mencabar blogger terbabit supaya mengemukakan bukti selain membuat laporan SPRM berkaitan penyalahgunaan kuasa ke atas syarikat milik isterinya.

“Beliau (Nga Kor Ming) sebelum ini telah mencabar saya jadi hari ini saya menyahut cabaran Nga untuk membuat laporan SPRM berkaitan pemberian kontrak tersebut… sebagai bukti saya ada menyediakan dokumen yang menyatakan bahawa dalam mesyuarat  jawatankuasa khas pemilihan telah melantik syarikat Goodman Tailor sebagai pembekal.

“Pelantikan syarikat itu sebagai pembekal dan tukang jahit khusus pakaian long suit untuk Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Datuk Ngeh Koo Ham dan Kor Ming meskipun pembekal dengan sebut harga terendah telah pun dilantik sebelum itu.

Malah tambahnya, perbuatan itu turut disertai sepupunya, Ngeh Koo Ham dimana pemimpin berkenaan telah memberi arahan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan iaitu MBI untuk melantik syarikat yang beralamat di Medan Istana 1, Bandar Ipoh Raya sebagai pembekal dan tukang jahit khusus untuk 20 pakaian long suit  Ahli Majlis MBI bagi tahun 2008.

Bagaimanapun, dalam senarai sebut harga yang dikeluarkan oleh MBI, terdapat lima syarikat yang disenaraikan dan syarikat Good Man Tailor telah menawarkan sebut harga terendah iaitu RM450 sepasang manakala Ethan dan Elton menawarkan harga yang paling tinggi iaitu sebanyak RM 650 sepasang.

“Hasil siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati salah seorang daripada ahli lembaga pengarah syarikat itu adalah isteri kepada exco kerajaan pada masa itu.

“Kita mempunyai bukti kukuh yang boleh mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan amalan kronisme yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat ketika memerintah Perak,” katanya lagi.

Justeru disini telah jelas menunjukkan Nga dan Ngeh telah menggunakan kuasa mereka sebagai exco untuk membatalkan keputusan melantik Good Man Tailor dan memberikan kerja itu kepada syarikat berkenaan yang jelas membuktikan kerajaan pada masa itu telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan kroni mereka.

Berang dengan paparan terbabit di blog berkenaan, maka Nga mulalah ketakutan lalu mencari saluran alternatif lain bagi menjawab dakwaan itu di Malaysian Insider baru-baru ini.

Dikatakan Nga telah menafikan kesemua dakwaan berkenaan malah dengan angkuhnya mencabar blogger Sufian untuk mengemukakan bukti.

Dan hari ini, cabaran itu disahut oleh blogger terbabit bagi membuktikan NGA KOR MING adalah seorang pemimpin yang bukan sahaja rasis malah mengamalkan rasuah.

Sidang Dun 7 Mei tidak sah, kali ini BN cabul dewan pula! May 16, 2009

Posted by ibrahimbaba in Perak, politik.
Tags: , , , , , , ,
1 comment so far

dipetik dari Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 Mei (Hrkh) –
Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang Dun Khamis lalu, 7 Mei tidak sah kerana beberapa sebab. Sidang itu adalah rentetan dan siri perbuatan-perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang mengetepikan kedudukan dan kuasa Speaker yang ada yakni V. Sivakumar dan kemudian pelbagai arahan serta perintah dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai autoriti yang sah.

Kedua, katanya pada hari itu sendiri sidang dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan, soal Aziz.

Ditanya mengenai titah Raja Muda merasmikan sidang, Aziz berkata: “Ini tidak penting kerana ini dilakukan dalam sidang yang permulaannya sudah tidak sah. Dan ini pun bukan pokok. Kalau pembukaannya pun sudah tidak sah, tidak perlu kita bercakap hal-hal yang dilakukan selepas itu”.

Aziz berpendapat V. Sivakumar masih lagi Speaker Dun Perak yang sah. Di dalam persidangan haram itu Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Datuk Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum ini polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

“Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu,” tegasnya.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok dua bulan lalu sekali lagi polis memainkan peranan utama.

“Sebelum ini kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anihnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai”.

Di sisi perlembagaan dan undang-undang mahkamah, apalagi polis, sebenarnya mereka tidak boleh campur urusan dewan.

“Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi,” katanya kesal.

Sebab itu, tegas Aziz, cara menyelesaikan krisis di Perak ialah dengan membubarkan dewan kerana apa yang berlaku minggu lalu jelas menunjukkan keadaan makin teruk dan kerajaan haram pimpinan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

“Ini berlawanan dengan perlembagaan kerana istana dan polis ada peranan dan kerja masing-masing, bukan mengawal dan membantu kerajaan untuk berkuasa”, tambahnya. Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah.

“Apa yang berlaku di Perak, oleh kerana cara BN membentuk kerajaan begitu misteri maka lawan mereka tidak dapat menerimanya”. Aziz berkata hanya golongan fasis yang tidak percaya dengan pilihan raya sahaja yang akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa.

Anihnya, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam komennya Jumaat lalu berasa sedih kerana “pihak pembangkang melanggar undang-undang dan membuat kekecohan”.

Khamis lalu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga menyalahkan pembangkang kerana membawa budaya rimba dan menentang titah sultan, perintah mahkamah dan arahan polis.

Aziz berkata di sisi undang-undang sesuatu tindakan tidak boleh dilihat berasingan dari suasana yang melatarinya. “Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Dun di Perak adalah respons yang akan dilakukan oleh sesiapa pun termasuk oleh BN sendiri kalau mereka melaluinya. Dengan itu adalah tidak adil untuk menuduh mereka ganas, liar dan sebagainya sedangkan kita tahu bagaimana mereka dilayan oleh polis dan pihak sekretariat kerajaan negeri,” jelasnya.

Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengganggu kuasa Speaker V Sivakumar dan sikap pihak polis yang berat sebelah dan tidak profesional.- TMJ_

Krisis di Perak sudah jadi politik kartun May 13, 2009

Posted by ibrahimbaba in Kehakiman, Kerajaan, Perak, politik.
Tags: , , , , , ,
add a comment

sumber Harakahdaily

PASIR PUTEH, 12 Mei (Hrkh) – Petang semalam Dato’ Seri Nizar Jamaluddin disahkan Menteri Besar Perak. Tiba-tiba petang ini pula Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir diberi semula jawatan itu.

Tidakkah situasi ini memeningkan. Rakyat di bawah lebih bercelaru lagi apabila mengikuti perkembangan kes di Perak sekarang.

Apakah babak-babak kartun sudah mulai meresap ke dalam politik Malaysia.

Anggota parlimen Pasir Puteh, Mohamad Hussin berkata, krisis politik di Perak tidak akan selesai selagi mandat tidak dikembalikan kepada rakyat.

“Mahkamah bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan konflik politik yang berlaku di Perak sekarang. Tengoklah apa yang berlaku hari ini. Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengesahkan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar.

“Tetapi hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi. Tidakkah ini seperti kartun yang ditertawakan orang luar,” katanya ketika ditemui di sini.

Hari ini Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Ramly Mohd Ali yang mendengar permohonan Zambry menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah penangguhan keputusan mahkamah semalam penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mohamad berkata, mahkamah bukan lagi jalan terbaik bagi menyelesaikan isu yang berbangkit di Perak sekarang.

“Ini kerana dari awal lagi krisis di Perak berpunca daripada sikap rakus pemimpin Umno selepas hilang kuasa pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, BN terlalu takut kehilangan kuasa yang dirampas Febuari lalu apabila segera membuat rayuan bagi menghalang keputusan dibuat Mahkamah Tinggi.

“BN perlu menyedari keangkuhan dan kerakusan akan membawa padah. Sepatutnya mereka lebih profesional sebelum bertindak merampas Perak dahulu,” ujarnya.

Menurutnya impak daripada rampasan kuasa tersebut secara jelas menyebabkan suasana di Perak tidak lagi tenteram.

Bagaimanapun kata beliau peluang untuk kembali landasan asal masih ada sekiranya diberi semula kepada rakyat bagi menentukan hak mereka sebagai pemilih.

Krisis Perak: Isi hati rakyat Perak hanya mahukan pembubaran Dun! May 13, 2009

Posted by ibrahimbaba in Kerajaan, Perak, politik, Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

sumber Harakahdaily

Krisis di Perak kembali rumit dan sempit, keputusan mahkamah yang umpama di ‘remote’ oleh Umno/BN mempermainkan semula jiwa dan denyut nadi rakyat.

Dalam masa sehari, mahkamah mudah diskripkan dengan memutar semula wajah demokrasi yang sebenar, rayuan Dr Zambry Kadir dengan pantas diproses dan diterima Mahkamah Rayuan dalam masa satu jam sahaja.

Walhal,secara amalan biasanya rayuan itu juga perlu tempoh tertentu untuk diputuskan perihal lulusnya dengan prosedur yang kepada ‘orang biasa’ akan menjafdi rumit.

Namun bagi Zambry yang juga proksi kepada Najib Tun Razak di Perak dalam ‘program realiti bertajuk rampasan kuasa di Perak’ mahkamah akan memudahkan rayuannya tidak seperti rakyat biasa yang lain.

Hanya sejam sahaja diperlukan Zambry yang menerima mandat Presiden Umno untuk mengemudi Umno di Perak untuk memutarkan semula skrip yang sedang bergelandangan di Perak.

Tindakan itu menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang mengesahkan Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah ‘tergantung’ sementara, dan Zambry pula selaku MB ‘perampas’ kembali mahu duduk dikerusi empuknya dengan bantuan ‘jalan pintas’.

Nizar hanya duduk di kerusi MB pada 12 Mei setakat beberapa jam dan sempat hadir dalam Majlis Pengurniaan Pingat di Istana Iskandariah bersama Sultan Perak.

Namun, ketokohan Nizar selaku pejuang rakyat terserlah, tanpa ada rasa ‘lokek’ kepada kuasa, beliau dengan rendah diri mengosongkan semula pejabat MB yang baharu sahaja dimasuki semula 12 Mei.

Benar kata Adun Titi Serong, Dr Khalil Idham Lim Abdullah bahawa rakyat Perak kini mula curiga dan sangsi mahkamah hanya diperguna untuk kepentingan kuasa BN.

Mahkamah hanya menjadi ladang kepada kerakusan nafsu BN untuk melakukan apa sahaja walau ianya sah bertentangan dengan perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

Ketegangan kini hanya boleh diselesaikan dengan kembali kepada rakyat, bak kata Nizar dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang bahawa pembubaran Dun adalah jalan terbaik.

Hal ini juga dipertegaskan Ahli Parlimen BN Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman

Usah dibodohkan kenyataan Ku Li dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan “selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan.”

Ku Li berpendirian sidang DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.

“Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

“Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN,” kata Ku Li.

Pastinya dalam kemelut ini, Sultan Perak adalah jawapan yang paling dekat kepada konflik ini untuk segera ditamatkan.Kuasa yang ada di tangan baginda adalah jalan penyudah, cadangan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mudah, dua MB ini dipanggil mengadap Sultan Perak.

Tumpuan hanya satu, dua dua perlu akur akan penyelesaian hanya di gelanggang pilihan raya semula dan bukannya intepretasi undang-undang yang berbeza.

Kini rakyat menanti keazaman Sultan Perak untuk menamatkan segera sengketa ini dengan memperkenankan pembubaran Dun bagi membolehkan rakyat memilih semula wakil rakyat dan kerajaan secara sah.

Nizar MB Perak, permohonan tangguh keputusan oleh Zambry ditolak May 11, 2009

Posted by ibrahimbaba in Kehakiman, Kerajaan, Perak, politik.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,
2 comments

berita dipetik dari Harakahdaily

Image

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan yang dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh seluruh rakyat Malaysia diumumkan Hakim Abdul Aziz Abd Rahim.

Menurut Abdul Aziz, Menteri Besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri dan beliau merujuk keputusan mahkamah terhadap kes Dato’ Stephen Kalong Ningkan.

Sementara itu permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan tersebut bagi mengemukakan rayuan ditolak mahkamah.

Hakim Abdul Aziz dalam penghakiman yang dibacakan mulai jam 2.30 petang dan Imageberakhir pada jam 2.50 petang tadi berpendapat, Sultan Perak sepatutnya menitahkan Dewan Undangan Negeri Perak bersidang bagi mengemukakan undi tidak percaya kepada Nizar selaku Menteri Besar.

Sambil merujuk kepada kes duluan (precedent) membabitkan Ketua Menteri Sarawak, Dato’ Stephen Kalong Ningkan pada 1966, beliau berpendapat Menteri Besar baru tidak wajar dilantik selagi Menteri Besar sedia ada belum meletakkan jawatan.

Beliau juga berpuashati bahawa Nizar tidak pernah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak yang sah seperti didakwa para peguam Zambry.

Para peguam Nizar dalam penghujahan mereka sebelum ini menegaskan bahawa jika Nizar diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah, beliau akan mendapatkan Imageperkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Pakatan Rakyat dan BN kini masing-masing mempunyai 28 kerusi di Dun Perak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, PAS, DAP dan KeADILan yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat memenangi 31 daripada 59 kerusi Dun Perak.

Bagaimanapun tiga Adun Pakatan Rakyat pada 4 Februari lalu telah mengisytiharkan diri sebagai calon Bebas dan menyokong BN selepas hilang secara misteri selama lima hari.

Nizar ketika ditemui pemberita berkata akan segera memohon menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan membubarkan Dun Perak dan membuka laluan kepada Imagepilihan raya negeri bagi mendapatkan mandat baru rakyat.

Nizar memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Beliau dilantik Menteri Besar pada 17 Mac 2008.

Bagaimanapun ekoran tindakan khianat tiga Adun Pakatan Rakyat itu, BN yang mendakwa mendapat majoriti di Dun Perak telah menghadap Sultan bagi membentuk kerajaan negeri.

Tidak memperkenankan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun, Sultan Azlan ImageShah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dun dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

Nizar diwakili Sulaiman Abdullah, Mohamed Hanipa Maidin dan beberapa peguam kanan.

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak April 18, 2009

Posted by ibrahimbaba in akhbar, Kehakiman, Kerajaan, Melayu, Perak, politik, UMNO.
2 comments

oleh Mohamed Hanipa Maidin dipetik dari Harakahdaily

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah

Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.

Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.– tajdid_

Rakyat tolak politik kotor BN April 9, 2009

Posted by ibrahimbaba in Kerajaan, PAS, Perak, politik, UMNO.
Tags: , , , , ,
add a comment

Bersyukur kehadrat Allah SWT setelah kita semua bertungkus-lumus berusaha akhirnya dengan keizinan-Nya, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dianugerahkan kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang melalui calon parti, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sesungguhnya kemenangan ini adalah sangat bermakna buat PAS dan Pakatan Rakyat (PR) khasnya di Perak kerana ia membuktikan bahawa rakyat menolak sama sekali amalan kotor ‘politik pintu belakang’ yang direncanakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga menjatuhkan kerajaan negeri yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu.

Mudah-mudahan kemenangan ini akan menyedarkan semua pihak bahawa satu-satunya penyelesaian kepada konflik politik dan perlembagaan yang sedang dihadapi di negeri Perak Darul Ridzuan adalah dengan cara membubarkan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya menyerahkan kembali mandat untuk diputuskan oleh rakyat dalam pilihan raya kerusi DUN di seluruh Perak.

Sehubungan dengan kemenangan ini juga saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para petugas dan pekerja parti dari seluruh negara termasuklah rakan-rakan dari PKR dan DAP, pimpinan dan ahli Kelab Penyokong PAS, kelompok Media Baru, para NGO dan orang perseorangan yang telah bekerja tanpa jemu dalam menyumbang ke arah kemenangan ini. Mudah-mudahan segala pengorbanan dan kerja kuat itu akan dibalasi dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Kemenangan ini juga adalah menunjukkan keberanian suara rakyat yang mempunyai harga diri dan tidak mampu digugat oleh janji dan ugutan dari jentera Umno dan BN yang terus menerus berselindung di sebalik jentera kerajaan. Kehadiran serta kempen Tun Dr Mahathir dan pimpinan baru Umno yang kononnya melaungkan nada baru dalam pilihan raya ini juga bukan sahaja tidak mendatangkan kesan, malah memburukkan lagi keadaan.

Ternyata bahawa kegagalan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu adalah bukan berpunca semata-mata dari kelemahan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi adalah suatu hakikat bahawa sememangnya parti Umno dan BN semakin lemah dan tidak mampu berhadapan dengan rakyat yang semakin celik di negara kita ini.

BN hanya berjaya mempertahankan kerusi di Batang Ai dan di lain-lain tempat yang rakyat sememangnya dinafikan hak untuk mendapat maklumat sahaja.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada PKR kerana berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau melalui calonnya S.Manikumar. Sesungguhnya kemenangan ini memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan PR Kedah pimpinan Dato Seri Azizan Abdul Razak.

Kedua-dua kemenangan ini di samping kemenangan terdahulu di kerusi parlimen Permatang Pauh dan di kerusi parlimen Kuala Terengganu insya-Allah akan merubah lanskap politik tanahair dengan menempatkan PAS dan Pakatan Rakyat sebagi parti arus perdana baru yang disokong dan didokong oleh rakyat jelata. – mks. _

Betulkah UMNO Sokong Sultan? May 9, 2008

Posted by ibrahimbaba in Islam, Kesultanan Melayu, Melayu, Perak, politik, Terengganu, UMNO.
5 comments

Bercampur tidak percaya bila UMNO, samada pemimpin mahupun ahli biasa mereka, sibuk beriya-iya dalam membantah apa yang dikatakan penghinaan terhadap Raja Perak oleh Karpal Singh.

IB sendiri pun tidak bersetuju jika Karpal celupar dan biadap menghina kedaulatkan institusi Raja di Tanah Air kita. IB tidak kira samada penghinaan itu dilakukan oleh orang Melayu ataupun bukan Melayu.

Tetapi, IB terlebih amat marah bila keceluparan datang dari orang Melayu kita sendiri yang sepatutnya mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.

Malah, IB amat terkejut bila orang Melayu secara terangan menghina Tuanku Mizan kerana tidak memilih pemimpin mereka sebagai MB. Tuanku Mizan disifatkan sebagai binatang!


Di zaman Mahathir, umat Melayu di Tanah Air tercinta ini berpecah dua. Sebahagian besar orang Melayu bersatu ingin mendaulatkan institusi raja. Namun, dengan kuasa yang ada untuk disalahgunakan mereka, UMNO dan kepimpinan (serta segala pak turut mereka) berapi-api menghasut serta menghina Raja-raja Melayu. Untuk beberapa minggu lamanya, satu demi satu raja Melayu diaibkankan oleh akhbar dan media elektronik. Ada juga pemimpin UMNO menabalkan “sultan” lain.

Ketika kemelut tersebut memuncak, IB secara kebetulan berkesempatan duduk semeja dengan seorang Raja Muda (walaupun kini dia sudah memegang tampuk tertinggi). Apabila topik ini IB timbulkan, ternyata di air muka beliau kekesalan terhadap kepimpinan serta jentera UMNO yang menghina Sultan dan diheret untuk diadili oleh rakyat marhaen.

Kadang-kadang kita sukar memahami cara orang UMNO berfikir. Prinsip mereka boleh berubah-ubah. Ketaatan mereka tidak kukuh. Tertib tidak mereka kira. Yang sepatutnya dibuat laporan terlebih dahulu ialah terhadap barisan pimpinan UMNO yang menghadkan kuasa raja dulu. Anwar tidak boleh lari dari ketanggungjawaban beliau berperanan juga semasa itu.

Kalaulah mereka ini sememangnya mudah lupa, krisis perlantikan MB Terengganu masih lagi segar di ingatan, baru sebulan berlalu.

Sekian, IB

Hina Sultan – Biarlah Ikut Tertib May 9, 2008

Posted by ibrahimbaba in Kesultanan Melayu, Perak, politik, Terengganu.
2 comments

Dalam tulisan ini, bukan tujuan IB untuk bersetuju atau tidak dengan kes Karpal Singh yang dikatakan menghina Raja Perak. Namun, apa yang IB ingin bawa perhatian para pembaca ialah bagaimana cara dan kesungguhan tindakan pihak UMNO serta gaya yang dimainkan oleh media arus perdana.

Kita masih ingat pada 23 Mac lalu, rakyat Malaysia (termasuk yang bukan Melayu) dikejutkan oleh siaran berita yang mempamerkan penghinaan paling rendah terhadap Sultan dan Raja Melayu. Penyiaran gambar penghinaan terhadap Sultan Terenganu bukan disengajakan oleh TV3 dan NTV7. Tetapi keterlanjuran mereka menyiar akibat kelemahan editor berita untuk memantau sudah tidak dapat ditarik balik setelah rakyat yang peka serta prihatin cekap membawa keperhatian umum.

Media-media tersebut bukan berhasrat untuk menyiarkan penghinaan tersebut tetapi cuba menunjuk “bantahan rakyat” terhadap pilihan Tuanku Sultan untuk menjawat MB. Tetapi akibat sudah menjadi budaya mereka maka itulah yang terluah pada kain rentang yang akhirnya dikutuk oleh seluruh rakyat Malaysia yang mendaulatkan institusi kesultanan mereka.

Walaupun penghinaan telah disebarkan secara meluas oleh media arus perdana serta telah menjadi perbualan mulut seluruh pelusok negara, tidak seorangpun pimpinan UMNO bersuara membantah kebiadaban ahli UMNO sendiri yang menghina Sultan sebagai “binatang“. Tidak pula kedengaran Adnan Mansor, yang sangat berhajat mendapat gelaran Tengku itu, membantah apatah lagi membuat laporan polis.

Walaupun laporan polis dibuat oleh mereka yang berdiri teguh di belakang Tuanku, namun, ianya sekadar menjadi timbunan laporan polis yang sudah banyak diketepikan sebelum ini.

Inilah yang ingin IB bawa kepada perhatian pembaca. Apabila Karpal celupar mulutnya, seluruh jentera UMNO digerakkan. Laporan segera dibuat. Karpal telah pun memohon maaf dan menyatakan bukan niatnya untuk menghina Raja Perak, sebelum Adnan membuat laporan.

Apa yang ingin IB pantau selepas ini ialah apakah polis akan mengambil tindakan terhadap Karpal setelah penghinaan terhadap Tuanku Mizan dihadapkan ke keadilan atau Karpal akan dihadapkan ke mahkamah terlebih dahulu.

Kalau ikut tertib, yang dahulu didahulukan.

Sekian. IB

Jamry Sury Sekadar Ditukar – Tg. Hassan Diberhentikan May 1, 2008

Posted by ibrahimbaba in Perak, politik, PRU2008, Terengganu.
add a comment

Kesemua akhbar heboh memperkatakan perihal Jamry Sury, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, kononnya ditukarkan serta-merta. Maka akhbar-akhbar cuba memainkan emosi pembaca bagi mempersalahkan MB Nizar sebagai menganiayai Jamry.

IB ingin membawa kepada peristiwa sebaik sahaja UMNO/BN mengambil-alih pemerintahan Terengganu pada tahun 2004. Idris Jusoh telah memberi beberapa jam sahaja untuk Tg. Hassan, pegawai terkanan Negeri Terengganu di masa itu yang sekadar menanti masa untuk dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, untuk meletak jawatan (dibaca sebagai dipecat). Beliau bakal dipecat jika tidak menandatangan – begitulah ugutan yang diberi.

Surat yang sekadar memerlukan tandatangan Tg. Hassan didesak oleh Idris kerana mahu dipersembahkan kepada Tuanku Sultan yang akan berlepas keluar negara beberapa jam selepas itu.

Tg. Hassan yang IB temui beberapa hari selepas peristiwa pemecatan beliau tersebut menerima hakikat bahawa Idris tidak mahukan beliau. Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah. Orang yang dipilih Idris untuk mengantikan Tg. Hassan sebagai SUK kemudiannya dipecatkan lagi sekali oleh Idris.

Jauh bezanya dengan apa yang berlaku di Perak.

Pertamanya, Jamry adalah seorang pegawai yang mungkin ke 6 atau ke 7 dari segi kekananan dalam pentadbiran negeri. Walhal, Tg. Hassan adalah pada kedudukan ke 2 sekadar menanti hari untuk dilantik sebagai ke no. 1.

Kedua, Jamry hanya sekadar ditukarkan. Memandang beliau seorang pegawai PTD, beliau boleh kembali ke JPA untuk diberi mana-mana jawatan lain – yang mungkin itulah yang beliau nantikan. Walhal, Tg. Hassan diberi tempoh yang amat singkat dan diberhentikan serta-merta.

Ketiga, semua akhbar memainkan isu Jamry. Walhal, tiada satupun akhbar melaporkan kes pemecatan Tg. Hassan selepas PRU2004.

Keempat, Jamry ditukar dalam masa 24 jam. Walhal, Tg. Hassan diberi tempoh kurang dua jam untuk tandatangan surat letak jawatan.

IB yakin peristiwa seperti ini lebih menguatkan pemerintahan MB Nizar dan mampu membawa kecemerlangan yang dapat memanafaatkan rakyat. Semoga ini dapat memperkemaskan pentadbiran Jabatan Agama Islam Perak.

Tg. Hassan kini adalah ahli DUN Ladang.

Sekian, IB