jump to navigation

Buang sifat malu pertahan hak March 16, 2010

Posted by ibrahimbaba in Melayu.
Tags: ,
2 comments

SHAH ALAM 15 Mac – Orang Melayu khususnya generasi muda perlu membuang perasaan malu untuk mengakui serta mempertahankan hak sendiri terutama melibatkan kedudukan raja-raja, bahasa Melayu dan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, peringatan itu dibuat berikutan generasi muda ketika ini seolah- olah malu untuk mempertahankan hak sendiri yang kini banyak dipersoalkan oleh pihak lain.

Menurutnya, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi (Perkara 152) serta Islam sebagai agama rasmi (Perkara 3) di bawah Perlembagaan Persekutuan bukan diwujudkan semata-mata untuk menjaga kedudukan orang Melayu.

Sebaliknya jelasnya, ia diwujudkan berasaskan fakta serta sejarah penubuhan negara sejak zaman kesultanan Melayu sehingga pembentukan Malaysia yang mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal di negara ini selain mewujudkan keharmonian dengan kaum- kaum lain.

”Jadi, tiada sebab orang Melayu tidak mempertahankan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia berasaskan kewujudan budaya serta orang Melayu di negara ini selain memelihara kedudukan agama Islam.

”Maka, generasi muda Melayu tidak harus rasa malu untuk pertahankan hak kaum sendiri.

”Sekiranya kita bersikap terlalu mengagungkan budaya orang lain sehingga tidak mempedulikan nasib kaum sendiri, ia tetap tidak akan mengubah hakikat bahawa kita adalah orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Jurang Pembangunan dan Kewajipan Melaksanakan 153 pada Forum Wacana 153 anjuran bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gapena, Prof. Tan Sri Dr. Ismail Hussein; Presiden GPMS, Jais Abdul Karim dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Sementara itu, ahli panel dari Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, pihak yang sengaja mempersoalkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan boleh didakwa kerana menghasut.

Katanya, perlembagaan itu bukan diwujudkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu sahaja, sebaliknya ia untuk memelihara keharmonian kaum lain di negara ini.

Selain itu jelasnya, tanggapan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan hak istimewa orang Melayu seperti pemberian biasiswa sebagai tidak adil, tamak serta perkauman adalah tidak wajar dan tidak berasas.

Katanya, berdasarkan statistik pemilikan ekuiti mengikut kaum ketika ini, orang Melayu adalah paling rendah iaitu sebanyak RM1.9 bilion atau 0.4 peratus berbanding kaum Cina dan India yang masing-masing mencatatkan jumlah RM207 bilion dan RM6.4 bilion.

sumber:

Oleh ABDUL YAZID ALIAS – pengarang@utusan.com.my

‘Media baru bincang isu sensitif secara provokatif’ March 16, 2010

Posted by ibrahimbaba in akhbar, Melayu.
Tags: , , , , , , , ,
1 comment so far

Seorang profesor dari Universiti Malaya (UM) mendakwa media alternatif baru memberi kebebasan tanpa sempadan untuk sesiapa sahaja untuk bersuara, menyebabkan isu sensitif mengenai hak istimewa orang Melayu dan bumiputera dibicara secara emosional dan provokatif.

Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar dari Jabatan Pengajian Media UM, berkata ia dilakukan tanpa memikirkan implikasinya terhadap aspek keselamatan dan perpaduan kaum.

“Ruang media ini seharuskan dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dalam mendidik generasi muda untuk berfikir secara matang dan rasional,” katanya yang juga ketua 11 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Beliau menegaskan demikian dalam kertas kerjanya di Wacana 153 anjuran Gapena dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Menurutnya lagi, semua pihak yang terlibat seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab dalam mengawal diri sendiri dan melengkapkan akal dengan ilmu dan fakta secukupnya sebelum melontarkan pendapat di ruang siber.

“Anak-anak muda juga perlu berdamping dengan golongan berpengalaman dan intelektual serta mencari landasan perjuangan yang jelas supaya perjalanan mereka tidak menyimpang.

“Gabungan persatuan yang terdiri daripada generasi muda Melayu perlu diwujudkan bagi menjayakan agenda perpaduan Melayu dan mempertahankan hak orang Melayu dalam perlembagaan,” katanya.

Selain Dr Abdul Latiff, tiga lagi tokoh akademik diundang bagi mengupas isu tersebut, iaitu pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam, Timbalan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek dan pakar pengajian antarabangsa Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar.

Dalam pembentangannya, Dr Ramlah menyarankan orang Melayu kembali menghayati sejarah, termasuk bagaimana perlembagaan yang memberi keistimewaan kepada mereka terbentuk.

Katanya, banyak fasal dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin keistimewaan tersebut, antaranya menetapkan Islam menjadi agama rasmi, Yang Di-pertuan Agong sebagai ketua negara, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan peruntukan tanah rizab Melayu.

Berhubung kedudukan agama Islam, Dr Ramlah berkata, perkara tersebut dirakamkan lebih awal dalam Hukum Kanun Melaka.

“Islam didaulatkan oleh kerajaan Melaka, walaupun selepas itu, Melaka jatuh, kemudian Islam diteruskan di negeri-negeri lain dan menjadi amalan (berterusan),” katanya.

Mengulas mengenai bahasa pula, Dr Ramlah berkata, sejarah membuktikan Melaka pernah menjadi sebuah empayar perdagangan dengan menggunakan bahasa Melayu.

“British suatu masa dahulu mengadakan satu sesi belajar bahasa Melayu, dengan tulisan jawi di London,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohamad pula merumuskan terdapat tiga aliran pemikiran yang berbeza apabila mengupas tentang hak keistimewaan orang Melayu di negara ini.

Golongan pertama katanya, kumpulan konservatif yang mempertahankan apa sahaja yang terkandung dalam Perkara 153, seperti yang dilakukan ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Kumpulan kedua pula, menurut Dr Mohamad, adalah kumpulan yang “bersifat politik dan pragmatik”, yang mengeluarkan “suara-suara sumbang” dengan menuntut pemansuhan “tongkat Melayu”.

Manakala kumpulan ketiga, tambahnya, golongan yang mahu mahukan hak sama taraf untuk semua kaum, bersesuaian dengan hak asasi manusia dan desakan globalisasi.

sumber: Malaysiakini

‘Duri dalam daging masyarakat Melayu’ March 15, 2010

Posted by ibrahimbaba in Melayu, politik.
Tags: , , , , , ,
add a comment

Golongan yang membuat pelbagai tafsiran dan pandangan mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu merupakan “duri dalam daging” di kalangan masyarakat Melayu, kata Ketua 11, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Malahan, katanya, tafsiran yang dibuat mereka itu “jelas tidak merujuk kepada maksud tersurat dan tersirat Perlembagaan itu sendiri dan kontrak sosial yang menjadi denyut nadi semangatnya”.

Beliau menegaskan demikian dalam kertas kerjanya di Wacana 153 anjuran Gapena dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini. Ia dihadiri kira-kira 300 orang, termasuk pelajar dan ahli akademik.

Kertas beliau bertajuk ‘Sejarah dan cabaran terhadap Perkara 153 (hak keistimewaan orang Melayu dan BUmiputera). Dr Abdul Latiff adalah profesor Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya.

Menurutnya, pelbagai tafsiran yang diberikan dalam peruntukan tersebut antaranya berkaitan dengan pemberian biasiswa, jumlah pegawai perkhidmatan awam, pendidikan tinggi, pemberian lesen dan permit perniagaan.

“Ada yang menganggap peruntukan ini sebagai satu diskriminasi kepada kaum majoriti yang kaya-raya,” katanya sambil menambah, malah ada yang menamakannya sebagai diskriminasi perlembagaan.

Menurutnya lagi, ada juga yang menterjemahkannya secara harfiah dan melihat perkara itu sebagai ‘kedudukan’ istimewa dan bukan sebagai ‘hak mutlak’ dan oleh itu perkara yang bukan ‘hak’ tidak boleh dituntut.

“Sesetengahnya berhujah menggunakan Islam sebagai alasan untuk menafikan hak keistimewaan Melayu dan mengagungkan konsep kesamarataan.

“Tidak kurang yang menggunakan konsep hak asasi manusia yang dipopularkan di Barat tanpa mengkaji dengan teliti fakta sejarah setempat,” tambahnya.

Apa yang mengecewakan, kata Dr Abdul Latiff, tafsiran tersebut turut difahami, dipercayai dan diperjuangkan oleh orang Melayu sendiri.

“Golongan-golongan inilah yang menjadi duri dalam daging di kalangan masyarakat Melayu,” katanya.

Dr Abdul Latiff menegaskan pengorbanan orang Melayu mengizinkan kerakyatan orang asing secara “jus soli” di samping jaminan perlindungan hak sah kaum mereka, tidak dinilai atas dasar persaudaraan dan timbang rasa.

“Isu ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia hanya akan mengundang rasa amarah, curiga dan permusuhan yang memudaratkan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, walaupun tiada akta, statut atau kes perundangan di mahkamah yang mentafsirkan prinsip 153 secara jelas, tetapi komitmen kerajaan menterjemahkannya melalui dasar dan pelaksanaan menunjukkan perkara itu penting untuk dikekalkan, dilindungi dan diperkasakan.

Dr Abdul Latiff juga menggesa rakyat Malaysia didedahkan di peringkat awal mengenai maksud tersurat dan tersirat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pendedahan perlu diberi sejak dari peringkat awal melalui pengajaran di peringkat sekolah sehingga institusi pengajian tinggi.

“Apa yang berlaku sekarang ialah penyalahtafsiran yang berlaku akibat kekurangan ilmu pengetahuan mengenai intipati Perlembagaan,” katanya.

sumber – http://malaysiakini.com/news/126568