jump to navigation

Buang sifat malu pertahan hak March 16, 2010

Posted by ibrahimbaba in Melayu.
Tags: ,
2 comments

SHAH ALAM 15 Mac – Orang Melayu khususnya generasi muda perlu membuang perasaan malu untuk mengakui serta mempertahankan hak sendiri terutama melibatkan kedudukan raja-raja, bahasa Melayu dan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, peringatan itu dibuat berikutan generasi muda ketika ini seolah- olah malu untuk mempertahankan hak sendiri yang kini banyak dipersoalkan oleh pihak lain.

Menurutnya, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi (Perkara 152) serta Islam sebagai agama rasmi (Perkara 3) di bawah Perlembagaan Persekutuan bukan diwujudkan semata-mata untuk menjaga kedudukan orang Melayu.

Sebaliknya jelasnya, ia diwujudkan berasaskan fakta serta sejarah penubuhan negara sejak zaman kesultanan Melayu sehingga pembentukan Malaysia yang mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal di negara ini selain mewujudkan keharmonian dengan kaum- kaum lain.

”Jadi, tiada sebab orang Melayu tidak mempertahankan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia berasaskan kewujudan budaya serta orang Melayu di negara ini selain memelihara kedudukan agama Islam.

”Maka, generasi muda Melayu tidak harus rasa malu untuk pertahankan hak kaum sendiri.

”Sekiranya kita bersikap terlalu mengagungkan budaya orang lain sehingga tidak mempedulikan nasib kaum sendiri, ia tetap tidak akan mengubah hakikat bahawa kita adalah orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Jurang Pembangunan dan Kewajipan Melaksanakan 153 pada Forum Wacana 153 anjuran bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gapena, Prof. Tan Sri Dr. Ismail Hussein; Presiden GPMS, Jais Abdul Karim dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Sementara itu, ahli panel dari Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, pihak yang sengaja mempersoalkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan boleh didakwa kerana menghasut.

Katanya, perlembagaan itu bukan diwujudkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu sahaja, sebaliknya ia untuk memelihara keharmonian kaum lain di negara ini.

Selain itu jelasnya, tanggapan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan hak istimewa orang Melayu seperti pemberian biasiswa sebagai tidak adil, tamak serta perkauman adalah tidak wajar dan tidak berasas.

Katanya, berdasarkan statistik pemilikan ekuiti mengikut kaum ketika ini, orang Melayu adalah paling rendah iaitu sebanyak RM1.9 bilion atau 0.4 peratus berbanding kaum Cina dan India yang masing-masing mencatatkan jumlah RM207 bilion dan RM6.4 bilion.

sumber:

Oleh ABDUL YAZID ALIAS – pengarang@utusan.com.my

Melayu lupa daratan antara cabaran Perkara 153 March 16, 2010

Posted by ibrahimbaba in Melayu.
Tags: ,
add a comment

SHAH ALAM 15 Mac – Wujudnya golongan Melayu yang sanggup menentang undang- undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan merupakan antara cabaran terbesar dalam mempertahankan Perkara 153 iaitu hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, mereka ini merupakan golongan Melayu yang lupa daratan, mudah terpengaruh dengan idealisme Barat yang tidak realistik dan mempunyai kepentingan politik sempit.

”Walaupun sebahagian besar daripada mereka telah menikmati hasil dan kebaikan daripada kewujudan Perkara 153 ini, tetapi apabila telah berjaya mereka jadi ‘kacang lupakan kulit’. Mereka lupa tanggungjawab untuk mempertahankan warisan itu kepada generasi akan datang ,” kata beliau.

Abdul Latiff berkata demikian dalam kertas kerja Sejarah dan Cabaran Terhadap Perkara 153 yang dibentangkan pada majlis Wacana 153 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. Majlis tersebut anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dengan kerjasama Gapena dan Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi.

Beliau yang juga Profesor Pengajian Media Universiti Malaya menjelaskan, pemikiran dan gagasan pemimpin-pemimpin Melayu sama ada dalam parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan perkhidmatan awam yang tidak bersatu juga menyukarkan usaha memelihara Perkara 153 ini.

Ini kerana jelas beliau, kebanyakan mereka berjuang untuk kepentingan masing-masing demi mencapai tujuan tertentu.

Malah, kata beliau ada yang sanggup menggunakan Perkara 153 bagi mewujudkan propaganda yang tidak perlu dan mereka harus segera sedar serta menghentikan perkara yang boleh menghancurkan hak bangsa sendiri.

”Lahirnya pelbagai media alternatif yang memberikan kebebasan tanpa sempadan kepada sesiapa juga bersuara termasuk isu-isu sensitif berkenaan keistimewaan orang Melayu tanpa memikirkan implikasinya juga menyukarkan usaha melindungi Perkara 153.

”Sepatutnya ruang media ini dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dalam mendidik generasi muda berfikir secara matang dan rasional.

”Jadi semua pihak yang terlibat perlu bertanggungjawab dalam mengawal diri sendiri dan melengkapkan akal dengan ilmu dan fakta secukupnya sebelum melontar atau menulis pendapat di ruang siber,” jelas beliau.

Ujar beliau lagi, sistem pembelajaran yang tidak jelas mengenai sejarah dan Perlembagaan juga menyebabkan Perkara 153 disalah anggap sebagai diskriminasi oleh orang bukan Melayu.

Sehubungan itu kata beliau, sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan agar hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera ini difahami oleh semua rakyat di negara ini dan tidak lagi dipertikai dan diperdebatkan.

sumber: Utusan

‘Duri dalam daging masyarakat Melayu’ March 15, 2010

Posted by ibrahimbaba in Melayu, politik.
Tags: , , , , , ,
add a comment

Golongan yang membuat pelbagai tafsiran dan pandangan mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu merupakan “duri dalam daging” di kalangan masyarakat Melayu, kata Ketua 11, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Malahan, katanya, tafsiran yang dibuat mereka itu “jelas tidak merujuk kepada maksud tersurat dan tersirat Perlembagaan itu sendiri dan kontrak sosial yang menjadi denyut nadi semangatnya”.

Beliau menegaskan demikian dalam kertas kerjanya di Wacana 153 anjuran Gapena dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini. Ia dihadiri kira-kira 300 orang, termasuk pelajar dan ahli akademik.

Kertas beliau bertajuk ‘Sejarah dan cabaran terhadap Perkara 153 (hak keistimewaan orang Melayu dan BUmiputera). Dr Abdul Latiff adalah profesor Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya.

Menurutnya, pelbagai tafsiran yang diberikan dalam peruntukan tersebut antaranya berkaitan dengan pemberian biasiswa, jumlah pegawai perkhidmatan awam, pendidikan tinggi, pemberian lesen dan permit perniagaan.

“Ada yang menganggap peruntukan ini sebagai satu diskriminasi kepada kaum majoriti yang kaya-raya,” katanya sambil menambah, malah ada yang menamakannya sebagai diskriminasi perlembagaan.

Menurutnya lagi, ada juga yang menterjemahkannya secara harfiah dan melihat perkara itu sebagai ‘kedudukan’ istimewa dan bukan sebagai ‘hak mutlak’ dan oleh itu perkara yang bukan ‘hak’ tidak boleh dituntut.

“Sesetengahnya berhujah menggunakan Islam sebagai alasan untuk menafikan hak keistimewaan Melayu dan mengagungkan konsep kesamarataan.

“Tidak kurang yang menggunakan konsep hak asasi manusia yang dipopularkan di Barat tanpa mengkaji dengan teliti fakta sejarah setempat,” tambahnya.

Apa yang mengecewakan, kata Dr Abdul Latiff, tafsiran tersebut turut difahami, dipercayai dan diperjuangkan oleh orang Melayu sendiri.

“Golongan-golongan inilah yang menjadi duri dalam daging di kalangan masyarakat Melayu,” katanya.

Dr Abdul Latiff menegaskan pengorbanan orang Melayu mengizinkan kerakyatan orang asing secara “jus soli” di samping jaminan perlindungan hak sah kaum mereka, tidak dinilai atas dasar persaudaraan dan timbang rasa.

“Isu ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia hanya akan mengundang rasa amarah, curiga dan permusuhan yang memudaratkan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, walaupun tiada akta, statut atau kes perundangan di mahkamah yang mentafsirkan prinsip 153 secara jelas, tetapi komitmen kerajaan menterjemahkannya melalui dasar dan pelaksanaan menunjukkan perkara itu penting untuk dikekalkan, dilindungi dan diperkasakan.

Dr Abdul Latiff juga menggesa rakyat Malaysia didedahkan di peringkat awal mengenai maksud tersurat dan tersirat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pendedahan perlu diberi sejak dari peringkat awal melalui pengajaran di peringkat sekolah sehingga institusi pengajian tinggi.

“Apa yang berlaku sekarang ialah penyalahtafsiran yang berlaku akibat kekurangan ilmu pengetahuan mengenai intipati Perlembagaan,” katanya.

sumber – http://malaysiakini.com/news/126568