jump to navigation

Sidang Dun 7 Mei tidak sah, kali ini BN cabul dewan pula! May 16, 2009

Posted by ibrahimbaba in Perak, politik.
Tags: , , , , , , ,
1 comment so far

dipetik dari Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 Mei (Hrkh) –
Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat sidang Dun Khamis lalu, 7 Mei tidak sah kerana beberapa sebab. Sidang itu adalah rentetan dan siri perbuatan-perbuatan haram yang beranak-pinak dan terus menimbulkan kekecohan dan kekeliruan dalam negara.

Beliau berhujah, dari awal lagi sidang mengetepikan kedudukan dan kuasa Speaker yang ada yakni V. Sivakumar dan kemudian pelbagai arahan serta perintah dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai autoriti yang sah.

Kedua, katanya pada hari itu sendiri sidang dilakukan melalui rampasan, khususnya Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan. Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan, soal Aziz.

Ditanya mengenai titah Raja Muda merasmikan sidang, Aziz berkata: “Ini tidak penting kerana ini dilakukan dalam sidang yang permulaannya sudah tidak sah. Dan ini pun bukan pokok. Kalau pembukaannya pun sudah tidak sah, tidak perlu kita bercakap hal-hal yang dilakukan selepas itu”.

Aziz berpendapat V. Sivakumar masih lagi Speaker Dun Perak yang sah. Di dalam persidangan haram itu Ganesan kelihatan tidak begitu petah bercakap dan tidak begitu mahir dengan peraturan dewan sehingga terpaksa dibantu oleh Datuk Hamidah Osman.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari. Sebelum ini polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

“Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu,” tegasnya.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok dua bulan lalu sekali lagi polis memainkan peranan utama.

“Sebelum ini kita mendengar bagaimana Ketua Polis Negara sendiri dalam kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat mengakui yang mereka tidak boleh masuk dewan. Anihnya di Perak ada pula undang-undang lain yang mereka pakai”.

Di sisi perlembagaan dan undang-undang mahkamah, apalagi polis, sebenarnya mereka tidak boleh campur urusan dewan.

“Apa yang polis lakukan ialah pencerobohan dan jenayah. Tetapi kita tak boleh buat apa-apa kerana kita bergantung kepada polis. Ini kes pagar makan padi,” katanya kesal.

Sebab itu, tegas Aziz, cara menyelesaikan krisis di Perak ialah dengan membubarkan dewan kerana apa yang berlaku minggu lalu jelas menunjukkan keadaan makin teruk dan kerajaan haram pimpinan Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan terus menghadapi masalah dan terpaksa bergantung kepada istana dan polis untuk berfungsi.

“Ini berlawanan dengan perlembagaan kerana istana dan polis ada peranan dan kerja masing-masing, bukan mengawal dan membantu kerajaan untuk berkuasa”, tambahnya. Aziz berkata hanya kerajaan diktator yang berfungsi begitu dan dalam sistem demokrasi kerajaan hidup dan tegak berdasarkan sokongan rakyat, bukan atas bantuan polis dan mahkamah.

“Apa yang berlaku di Perak, oleh kerana cara BN membentuk kerajaan begitu misteri maka lawan mereka tidak dapat menerimanya”. Aziz berkata hanya golongan fasis yang tidak percaya dengan pilihan raya sahaja yang akan mengambil tindakan ganas dan di luar kebiasaan untuk berkuasa.

Anihnya, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dalam komennya Jumaat lalu berasa sedih kerana “pihak pembangkang melanggar undang-undang dan membuat kekecohan”.

Khamis lalu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga menyalahkan pembangkang kerana membawa budaya rimba dan menentang titah sultan, perintah mahkamah dan arahan polis.

Aziz berkata di sisi undang-undang sesuatu tindakan tidak boleh dilihat berasingan dari suasana yang melatarinya. “Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Dun di Perak adalah respons yang akan dilakukan oleh sesiapa pun termasuk oleh BN sendiri kalau mereka melaluinya. Dengan itu adalah tidak adil untuk menuduh mereka ganas, liar dan sebagainya sedangkan kita tahu bagaimana mereka dilayan oleh polis dan pihak sekretariat kerajaan negeri,” jelasnya.

Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengganggu kuasa Speaker V Sivakumar dan sikap pihak polis yang berat sebelah dan tidak profesional.- TMJ_

Krisis di Perak sudah jadi politik kartun May 13, 2009

Posted by ibrahimbaba in Kehakiman, Kerajaan, Perak, politik.
Tags: , , , , , ,
add a comment

sumber Harakahdaily

PASIR PUTEH, 12 Mei (Hrkh) – Petang semalam Dato’ Seri Nizar Jamaluddin disahkan Menteri Besar Perak. Tiba-tiba petang ini pula Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir diberi semula jawatan itu.

Tidakkah situasi ini memeningkan. Rakyat di bawah lebih bercelaru lagi apabila mengikuti perkembangan kes di Perak sekarang.

Apakah babak-babak kartun sudah mulai meresap ke dalam politik Malaysia.

Anggota parlimen Pasir Puteh, Mohamad Hussin berkata, krisis politik di Perak tidak akan selesai selagi mandat tidak dikembalikan kepada rakyat.

“Mahkamah bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan konflik politik yang berlaku di Perak sekarang. Tengoklah apa yang berlaku hari ini. Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengesahkan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar.

“Tetapi hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi. Tidakkah ini seperti kartun yang ditertawakan orang luar,” katanya ketika ditemui di sini.

Hari ini Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Ramly Mohd Ali yang mendengar permohonan Zambry menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah penangguhan keputusan mahkamah semalam penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mohamad berkata, mahkamah bukan lagi jalan terbaik bagi menyelesaikan isu yang berbangkit di Perak sekarang.

“Ini kerana dari awal lagi krisis di Perak berpunca daripada sikap rakus pemimpin Umno selepas hilang kuasa pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, BN terlalu takut kehilangan kuasa yang dirampas Febuari lalu apabila segera membuat rayuan bagi menghalang keputusan dibuat Mahkamah Tinggi.

“BN perlu menyedari keangkuhan dan kerakusan akan membawa padah. Sepatutnya mereka lebih profesional sebelum bertindak merampas Perak dahulu,” ujarnya.

Menurutnya impak daripada rampasan kuasa tersebut secara jelas menyebabkan suasana di Perak tidak lagi tenteram.

Bagaimanapun kata beliau peluang untuk kembali landasan asal masih ada sekiranya diberi semula kepada rakyat bagi menentukan hak mereka sebagai pemilih.

Krisis politik di Perak mulai tempias ke Terengganu May 7, 2009

Posted by ibrahimbaba in Kerajaan, politik, Terengganu.
Tags: , , , ,
1 comment so far

Dari Harakahdaily.net

KOTA BHARU, 7 Mei (Hrkh) – Ketika tumpuan seluruh negara terarah ke Perak di mana kemelut politik sedang berada di kemuncak, tiba-tiba dikejutkan pula berita wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan parti mereka di beberapa tempat.

Kalau sebelum ini ramai mempersendakan agenda 16 September 2008, yang berakhir tanpa kenyataan.

Namun situasi yang berlaku sekarang tidak dapat dinafikan begitu sahaja.

Ramai melihat pergolakan rumah tangga Umno menjadi faktor penolak dari dalam. Keadaan menjadi lebih cepat apabila ada faktor penarik pula dari luar Umno.

Krisis keyakinan yang melanda Umno di Terengganu tiada penghujungnya biar pun Dato’ Seri Hishamuddin Hussien dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

Menurut sumber pelucutan jawatan Dato’ Ahmad Said sebagai pengerusi perhubungan sebelum ini dikatakan ada hubungkait dengan peranan dimainkan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

“Biar pun Ahmad dilantik sebagai timbalan pengerusi perhubungan namun hakikatnya kuasanya dikurangkan sedikit demi sedikit.

“Tanpa mengambil kira pelantikan Menteri Besar sekarang atas kehendak istana sudah tentu kedudukan Ahmad tidak lagi selamat,” katanya di sini.

Namun kata beliau apa yang jelas berlaku di Terengganu sekarang Idris sudah mempunyai ruang untuk bangkit semula dengan pelantikan Hishamuddin.

Bagaimanapun Menteri Besar sekarang tidak akan membiarkan pengaruh Idris menular jauh seperti berlaku insiden pemulauan persidangan Dewan Undangan Negeri di kalangan Adun BN baru-baru ini.

Kata sumber terbabit berdasarkan kepada segala kemungkinan itu Ahmad boleh bertindak lebih jauh dan mungkin ia menyerupai apa yang berlaku di Perak sekarang.

Cuma yang membezakan krisis di Perak berlaku di antara parti yang berlainan, Pakatan Rakyat dan BN, sebaliknya di Terengganu pertembungan berlaku sesama Umno.

Semalam Naib Presiden, Dato’ Husam Musa mendedahkan ada Adun BN menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti lama bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

“Kita sedang berunding dengan wakil rakyat berkenaan dan setakat ini Alhamdulillah ada reaksi positifnya untuk menyertai PAS. Mereka sudah melihat kemampuan PAS untuk mengganti Umno sebagai tunggak utama orang Melayu dan Islam di negara ini,” katanya.

Sumber lain pula menyebut pergolakan dalaman Umno kini sudah merebak ke banyak negeri kerana wujud pertembungan secara senyap di antara kumpulan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib Razak.

Pelantikan Dato’ Mustapa Mohamed sebagai pengerusi Perhubungan Umno Kelantan dianggap sebagai proses ‘kitar semula’ semata-mata bagi melenyapkan pengaruh Abdullah di negeri ini.

“Saya yakin Tan Sri Annuar Musa dan kumpulannya tidak akan duduk diam dan pastinya akan berlaku pertembungan di Kelantan.

“Dan tidak dapat ditolak peristiwa lama di mana Mustapa pernah dipulau ketua-ketua bahagian yang pernah berlaku ketika beliau mengetuai Umno Kelantan akan berulang kembali,” ujarnya. – mj _