jump to navigation

Perlu Menegur DSAI February 19, 2009

Posted by ibrahimbaba in Anwar, Islam.
Tags: , , , , , ,
6 comments

Membaca tulisan DSAI akhir-akhir ini membuat IB memikir panjang. Dua posting yang amat mengganggu fikiran IB ialah berhubung perkembangan di Sri Lanka dan sambutan Thaipusam. Terganggunya fikiran IB kerana ketidak telitian DSAI dalam beberapa perkara yang ditulis dalam posting tersebut. Masa yang lama diambil untuk memikirkan bagaiman hendak diturun kata-kata ini.

Pertama, Kenyataan Media Berhubung Perkembangan Mutakhir di Sri Lanka, DSAI bimbang dengan “mangsa di kalangan rakyat, terutamanya penduduk Tamil di utara”. Mengapakah saudara tidak menyebut sama perihal umat Islam yang telah diusir oleh pengganas LTTE/Tamil Tigers? Ratusan ribu umat Islam telah dihalau dari kediaman mereka dan kini sudah bertahun merana terpaksa menjadi pelarian?

Tidak kurang pula mereka yang tidak bersalah dibunuh dengan kejam. Wanita dan kanak-kanak telah turut menjadi mangsa kekejaman pengganas LTTE. Perihal penderitaan ini MESTI disebut juga dalam menyatakan kebimbangan kumpulan minoriti orang-orang Tamil itu.

Kedua, ucapan Selamat Menyambut Hari Thaipusam. Seharusnya saudara amat faham sebagai orang Islam kita perlu menjaga pengucapan dan kata-kata kita agar tidak mencalar syahadah kita. Dalam mengEsakan Allah Azzawajala, kita tidak boleh menyekutukanNya. Tiada tuhan melainkan Allah.

Dari kata-kata dalam pengucapan tersebut saudara telah meletakkan pengiktirafan terhadap dewa-dewa Hindu tersebut. Teguran ikhlas ini adalah bagi mengingatkan DSAI untuk beristighfar dan supaya lebih teliti di masa-masa akan datang. Islam tidak melarang untuk memperjuangkan nasib penganut agama lain terutama mereka yang tertindas – malah adalah terkedepan dalam memperjuangkan keadilan, namun Islam turut mengariskan batas-batas syahadah kita.

Amantu billah.

Sekian, IB

‘Kita sendiri punahkan bahasa Melayu’ February 16, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari: Harakahdaily

ENAM tahun sudah berlalu sejak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ‘dipaksakan’ di sekolah.

Suara bantahan terus bergema, malah makin lantang dan bertenaga, terutama melalui Gabungan Mansuh PPSMI (GMP). Sokongan rakyat dan masyarakat intelektual terhadap GMP begitu memberangsangkan sekali.

Ikuti wawancara wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, ANIS NAZRI dan IRWAN MUHAMMAD ZAIN, bersama jurugambar WAN ZAHARI WAN MD SALLEHdengan Pengerusi GMP, Dato’ Dr Hassan Ahmad, yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, di pejabatnya, Yayasan Karyawan di Pusat Bandar Damansara, baru-baru ini.

HARAKAH: Isu mengenai PPSMI sudah berlanjutan sejak enam tahun lalu. Jika dahulu para pejuang bahasa tidak nampak begitu menonjol seperti sekarang, dengan melancarkan kempen membantah dasar ini di khalayak ramai di Kompleks Membeli-belah Sogo, 1 Feb lalu. Mengapa agaknya baru sekarang bertindak sedemikian?

HASSAN AHMAD: Saya fikir begini, kita perlu takrifkan apa itu pejuang bahasa. Ada orang berfikir pejuang bahasa ialah aktivis bahasa, melaung sana melaung sini. Pejuangan bahasa ini adalah perjuangan ilmu, mempertahankan konsep dan prinsip yang benar. Bahasa Melayu dan pendidikan dalam bahasa Melayu tidak pernah menjadi masalah sepanjang sejarah bahasa Melayu, tiba-tiba ada pihak yang menyekat dan dijadikannya masalah.

Pejuang bahasa hari ini ini terdiri daripada sarjana bahasa, ahli sains dan matematik yang telah terdidik dalam bahasa Melayu. Para ilmuan ini bergerak ke tempat umum kerana saluran lain sudah tertutup. Media-media perdana tidak menyiarkan suara-suara kebenaran ini. Jadi rakyat tidak dapat mendengar hujah yang benar mengenai dasar ini. Yang banyak disiarkan ialah hujah pihak yang membuat dasar.

Namun, dengan adanya media alternatif, seperti blog, masyarakat semakin terdedah untuk membaca berita yang lebih bebas dan benar. Beberapa banyak orang memberitahu saya, takkanlah pelajar di sekolah kebangsaan luar bandar yang tidak mengetahui atau lemah bahasa Inggerisnya, tiba-tiba tidak pandai matematik yang diajarkan dalam bahasa yang mereka tidak faham itu; ada di antara mereka mendapat tiba-tiba boleh dapat markah ‘A’.

Statistik itu diragui oleh banyak orang. Rakyat tak tahu cerita sebenar.

Sudah beribu pelajar, ahli sains, profesor dan pensyarah pelbagai bidang sains dan matematik yang terdidik dalam bahasa Melayu sejak 30 tahun dahulu. Apakah mereka ini tidak maju dalam bidang-bidang itu kerana diajarkan dalam bahasa Melayu?

Apakah sains dan matematik yang diajarkan dalam bahasa Melayu di Malaysia lebih rendah daripada sains dan matamatik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris di universiti luar negeri, seperti di Universiti Harvard, dan lain-lain?

Adakah Matematik di Harvard atau Oxford misalnya dua campur dua sama dengan lima (2 + 2 = 5)? Ilmunya sama. Konsepnya sama, tidak kira dalam bahasa apa pun ilmu itu diajarkan.

Sebanyak lima rundingan meja bulat diadakan bersama ahli pejuang bahasa dan pendidikan. Namun, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai Dato’ akhirnya ke jalan raya. Menteri Pelajaran menyifatkan tindakan GMP ini akan membuatkan kerajaan tidak dapat membuat keputusan secara waras. Apa reaksi Dato’ dengan kenyataan tersebut?

Sebenarnya, GMP bukan gerakan jalanan. Ini gerakan mempertahankan tamadun bangsa, bahasa Melayu, pendidikan Melayu. Kita cuba berfikir secara waras.

Kita bukan kumpulan ‘gila bahasa Melayu’. Kita bukan gerakan antikemajuan, antibahasa Inggeris, antikerajaan. Tapi cuba fikir, dasar yang salah ini telah dilaksanakan selama enam tahun.

Apakah kita perlu tunggu enam tahun untuk mengkaji baik buruknya, sedangkan keburukannya sudah diketahui umum. Yang tidak waras atau istilah lain yang lebih tertib, yang tidak rasional, ialah orang yang membuat keputusan ini dalam tahun 2003, konon hendak tunjukkan bahasa Inggerislah yang boleh memajukan bangsa Melayu dan negara ini, bahasa Melayu tak boleh.

Masalahnya mereka tidak mahu mendengar pandangan dan hujah orang lain yang lebih rasional. Apa guna ada rundingan jika pihak berkuasa tidak mempedulikan fakta yang sebenar. Perlu kena tunggu enam tahunkah? Dalam tempoh itu masalah makin lama makin menjadi kompleks dan bertambah parah.

Baru-baru ini pejuang bahasa nampak ke hadapan. Selain sebab yang dikatakan tertutupnya saluran rundingan, ada yang berkata pejuang bahasa ini agak lambat bertindak secara lantang seperti sekarang. Kenapa agak lambat bertindak?

Hakikatnya, ketika kerajaan mula-mula membuat keputusan yang salah itu, banyak pihak telah menentangnya. Bukan Melayu sahaja, kaum lain pun tentang dasar ini. Orang Cina yang saya sendiri jumpa menentang PPSMI.

Surat khabar Cina menceritakan keburukan dasar ini, berdasarkan hujah ilmu dan kajian yang ilmiah. Surat khabar Melayu seolah-olah takut hendak menyiarakan pandangan dan hujah yang menentang keputusan itu, seolah-olah mereka tidak membela bahasa mereka sendiri, tetapi menyokong bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu bagi bangsa Melayu.

Yang diceritakan, menteri kata itu, kata ini. Banyak pelajar dapat ‘A’. Pelajar dari sekolah mana? Pelajar dari sekolah kebangsaan di kampung dan di ceruk rantau negeri ini ke?

Cuba pegawai-pegawai kerajaan Kementerian pergi duduk dalam bilik darjah di sekolah luar bandar yang daif itu, dan lihat apakah benar pelajar itu faham apa yang diajarkan kepada mereka dalam bahasa Inggeris, bahasa yang mereka tidak tahu.

Kita sedang mengalami proses membodohkan diri kita sendiri, proses jahiliah. Islam sudah tinggalkan zaman jahiliah, kita masih hidup dalam zaman jahiliah, zaman orang tidak menghormati ilmu dan kebenaran.

Segala masalah yang timbul itu adalah disebabkan kerajaan membuat keputusan yang salah. Sepatutnya masalah tidak timbul lagi setelah 50 tahun kita merdeka.

Banyak orang berharap dasar itu akan diubah selepas pilihan raya 2004. Rupanya kita hanya sibuk dengan isu jambatan bengkok. Dasar yang lebih bengkok, iaitu PPSMI itu, tidak diselesaikan.

Yang kasihannya pelajar yang berada di luar bandar. Yang tiada mempunyai akses kepada kemudahan-kemudahan pembelajaran ini seperti yang terdapat di bandar. Wujud suasana tidak adil bagi pelajar-pelajar itu dalam hal dasar ini.

Bagaimana Dato’ terdorong untuk mengetuai gerakan ini?

Saya sebenarnya didatangi oleh sekumpulan orang muda meminta saya mengetuai gerakan ini, kerana, menurut mereka, sudah tiada orang yang mahu berjuang lagi untuk mempertahankan bahasa mereka.

Saya terima dengan syarat gerakan ini bergerak bukan untuk berperang melawan sesiapa tetapi semata-mata untuk meminta supaya pihak yang berkuasa memansuhkan PPSMI demi kebaikan dan kepentingan bangsa, pendidikan dan kemajuan negara berdasarkan model kita di Malaysia, bukan di Britain atau di Amerika Syarikat.

Kita tak usahlah berdolak-dalik lagi. Kita mempunyai banyak hujah, fakta dan hasil kajian untuk meyakinkan rakyat dan khususnya orang-orang dan pihak yang tidak faham tentang keburukan PPSMI itu.

Tugas saya dalam gerakan ini lebih banyak bersifat memberi nasihat dan sebagai tenaga pengimbang, memimpin gerakan yang kebanyakannya ditenagakan oleh orang muda yang sangat prihatin terhadap masalah bangsa, mengimbangi antara perasaan dengan realiti. Ketika ada yang datang bertanya kepada saya, saya fikir kenapa tidak? Jadi saya pun terima.

Dato’ mengatakan tadi, bahawa media Melayu tidak begitu terbuka berbanding media Cina, isunya sekarang sejauh mana usaha-usaha ini boleh menekan kerajaan. Di mana kita lihat apabila kerajaan rasa survival politik mereka tergugat, barulah mereka akan bertindak. Jika sekadar tanda tangan dan hantar ke kerajaan, ia tidak begitu menekan. Sejauh mana usaha itu boleh memberi tekanan kepada kerajaan?

Tekanan bagaimana yang kita mahu buat? Rampasan kuasa? Tentera? Itu bukan caranya. Kita mahu menyedarkan pihak yang berkuasa dengan sebaik-baiknya bahawa PPMSI itu salah dan hendaklah segera dimansuhkan sebelum imej kerajaan sendiri akhirnya tergugat dan rosak dan mungkin akan dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Saya yakin kerajaan akan berfikir waras, dan kini mulai mendengar desakan. Jika tidak, saya percaya pilihan raya umum nanti mereka boleh telungkup. Orang Umno sendiri banyak yang bantah PPSMI. Cuma mereka takut. Ini kelemahan Melayu, takut menentang kesalahan, padahal mereka sepatutnya berani kerana kebenaran.

Jadi, perancangan awal GMP untuk mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat bagi membantah dasar PPSMI ini akan diteruskan Mac ini?

Ya, setakat ini perhimpunan tersebut akan diteruskan Mac ini. Tapi ini bukan perhimpunan demonstrasi, perhimpunan jalanan, tetapi ialah kumpulan yang mewakili ratusan ribu, mungkin berjuta rakyat yang menentang dasar itu. GMP hanya mewakili mereka.

Bagi pandangan Dato’, mengapa dasar ini perlu dibantah dan memberi kesan yang tidak baik kepada pelajar-pelajar?

Hal ini sudah kita jelaskan sedikit tadi. Kajian ilmiah, berdasarkan ilmu pendidikan dan ilmu budaya bahasa atau ilmu bahasa kognitif (yakni, bahasa sebagai alat pemikiran manusia). Kanak-kanak lebih mudah memahami konsep sesuatu ilmu, termasuk sains dan matematik, dalam bahasa asalnya, misalnya kanak-kanak Melayu dalam BM.

Jika ilmu itu diajarkan dalam bahasa yang dia sendiri tidak tahu, ada dua masalah yang akan timbul. Pertama, dia kena belajar bahasa yang dia tidak tahu iaitu BI.

Keduanya, dia kena belajar pelajaran yang dia tidak tahu dalam bahasa yang dia tidak tahu.

Inikan masalah serius? Kanak-kanak itu mendapat pendedahan ilmu dan pengetahuan awal di persekitaran mereka dalam bahasa ibunda mereka.

Ini fakta berdasarkan kajian ilmu, tapi kita membuat keputusan tidak berdasarkan ilmu itu. Itu asasnya. Jika soal pendidikan sudah tidak ada asasnya, kacau dibuatnya.

Ada orang – termasuk orang yang ‘berilmu’ – yang berkata, apalah orang Melayu nak bising sangat. Hanya dua mata pelajaran sahaja yang terlibat, iaitu sains dan matematik. Itu kata mereka.

Orang ‘berilmu’ tidak semestinya dia tidak jahil. Yang terlibat bukan dua mata pelajaran sahaja tetapi ialah 89 subjek yang dianggap berteraskan sains.

Jikalau orang Melayu tidak lagi dibenarkan mempelajari sains dan matematik dalam BM, akhirnya tidak ada orang Melayu yang boleh menjadi doktor perubatan, jurutera, ahli kimia, ahli biologi, botani dan lain-lain lagi dalam bahasa Melayu, kerana mereka tidak belajar sains dalam bahasa ini.

Tidak ada orang Melayu yang mampu bercakap dan berbincang tentang pelbagai bidang sains itu dalam bahasa Melayu. Ini sedih. Ini tragedi bagi bahasa Melayu, budaya Melayu, dan bagi bangsa Melayu.

Masalah yang patut diselesaikan oleh kerajaan dan pakar-pakar pendidikan di Kementerian Pelajaran (kalau masih ada pakar pendidikan di situ) ialah, memperbaiki pelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah.

Tidak munasabah, pelajar yang belajar bahasa Inggeris selama sembilan tahun (dari darjah 1 hingga ke peringkat SPM) akhirnya kebanyakannya tidak menguasa bahasa ini dengan baik.

Ini dahsyat! Kalau kaedahnya betul, orang boleh menguasai apa-apa bahasa pun dalam masa yang singkat, tidak sampai 9 tahun!

Kesimpulannya, kanak-kanak ini perlu diajar melalui bahasa ibundanya, tetapi bahasa kedua hendaklah diajar dengan cekap supaya kanak-kanak ini apabila sampai ke peringkat menengah dia juga sudah boleh memahami istilah-istilah sains matematik dalam BI itu, di samping istilah dalam BM.

Maknanya, jika ada pilihan bahawa dasar ini diajar di peringkat menengah, Dato’ dan pejuang bahasa ini boleh bersetuju?

Saya tidak setuju. Satu soalan saya hendak tanya kepada pihak yang membuat keputusan ini.

Apakah mereka membuat keputusan itu kerana pengajaran sains matematik yang diajar dalam BM sebelum 2003 itu gagal, menyebabkan ratusan ribu kanak-kanak tidak menguasai matematik sains kerana diajar dalam bahasa ibunda mereka?

Pergilah ke mana-mana negara seperti Korea, Jepun, China, dan semua negeri di Eropah; dan di Finland, misalnya. Sains dan matematik semuanya diajarkan dalam bahasa mereka, tidak dalam bahasa Inggeris.

Finland ialah negara kecil; bahasanya tidak sebesar bahasa Melayu, tetapi negara itu boleh maju dalam bidang sains dan teknologi. Kanak-kanak Finland belajar dalam bahasa mereka.

GMP bukan anti-BI, tapi hendak mempertahankan apa yang benar, tolak yang tidak benar.

Kita mahu kerajaan selesaikan masalah kelemahan bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran kita. Banyak sarjana kita lulusan dalam bahasa Melayu.

Suruh mereka mengajar sains dan matematik di Universiti Oxford, mereka tetap boleh mengajar dalam bahasa Inggeris – sebab bahasa Inggeris mereka cukup baik, dan bahasa Melayu mereka juga cukup baik.

Apakah orang yang membuat keputusan ini fikir hanya mereka yang benar? Dasar itu sahaja yang benar? GMP bukan musuh. Adakah kami yang mempersoalkan dasar ini bodoh, tak betul, tak benar? Kita bangsa Melayu mesti membuat sesuatu berdasarkan kebenaran. Benda yang tiada masalah dijadikan masalah, meleret hingga enam tahun.

Selain dari masalah pimpinan politik, jika Dato’ sedar, di peringkat sarjana di universiti juga menghadapi masalah sama. Bukan sahaja matematik dan sains, tapi subjek lain seperti sains sosial, malah khabarnya sastera Melayu yang tidak ada kena mengena pun, pihak pentadbir meminta pensyarah mengajar dalam bahasa Inggeris?

Itulah akibatnya, sudah melarat-larat. Sepatutnya pensyarah ini ditegur kerana melanggar dasar negara. Ada universiti yang mengajar kesusasteraan Melayu dalam bahasa Inggeris. Kan bodoh ni.

Saya menggunakan istilah bodoh ini sebab tidak tahu nak guna istilah apa lagi. Sebab kita sendiri yang punahkan bahasa kita. Bukan negara atau bangsa lain yang suruh kita ajarkan ilmu dalam BI, tapi pemimpin kita sendiri.

Di dunia terdapat puluhan negara yang maju yang menggunakan bahasa sendiri. Jepun, China, Korea yang maju. Mereka guna bahasa ibunda mereka, bukan bererti mereka tidak tahu BI.

Dari segi perkembangan ilmu, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam terjemahkan buku suatu ketika dahulu begitu aktif. Kini seolah-olah tiada buku baharu?

Kita terjemahkan buku, bukan terjemahkan buku yang ilmunya kita boleh tulis sendiri. Ini yang patut digalakkan, iaitu menulis karya ilmu dalam bahasa kita sendiri. Kita patut menterjemahkan buku dalam bahasa lain yang bercorak klasik sahaja. Buku klasik isinya tidak berubah.

Karya pemikir Islam yang agung, seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, dan banyak lagi, ilmuwan Barat sendiri ‘tabik’ terhadap kehebatan pemikir Islam itu. Karya seperti itulah yang perlu ada terjemahannya dalam bahasa Melayu, bukan asing yang sifatnya popular, yang isinya sering berubah-ubah.

Buku matematik dan sains ini tidak perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu; sarjana kita sendiri boleh menulisnya dalam bahasa Melayu, kecuali jurnal-jurnal ilmu dan hasil kajian ilmu dan saintifik yang benar-benar ‘original’, bahan seperti itu mungkin perlu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Teori baru itu pun tidak banyak orang mengetahuinya. Masa Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) ditubuhkan kita menggunakan buku dari Indonesia, malah pensyarah pun dari sana. Yang menggunakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan matematik, tidak ada masalah pun untuk memahami buku dalam bahasa Melayu-Indonesia.

Dengan pelbagai tekanan kini, apa harapan Dato’ agar kerajaan menimbang semula dasar ini?

Saya berharap kementerian yang berkenaan pergi melawat sekolah di luar bandar, sekolah yang tercorot. Tengok sendiri keadaan kanak-kanak di situ.

Jangan pergi ke sekolah bandar sahaja, sekolah ‘elite’. Itu tidak adil. Buat sekarang, jangan duduk sahaja dalam bilik, buat kajian berdasarkan data dan statistik yang pilih-pilihan (selektif).

Kita di rantau ini berada dalam tamadun berbahasa Melayu, bukan dalam tamadun bahasa Inggeris. Lebih 200 juta manusia mengetahui bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Ini bukan bahasa kecil.

Ini bahasa yang telah membentuk suatu tamadun yang besar di rantau ini. Tamadun ini perlu dipertahankan oleh pemimpin hari ini, jika ini tidak dipertahankan BM akan menjadi bahasa pinggiran di Malaysia.

PPSMI ini perlu dilihat dari segi konteks yang besar, bukan dari dua tiga orang pembuat dasar. Apa yang akan terjadi pada bangsa Melayu datang jika mereka tidak belajar sains dalam bahasa Melayu?

Adakah mereka boleh mencipta ilmu baru, sains baru, teknologi baru dalam bahasa kita?

Kita kena melihat masalah PPSMI ini dari sudut yang luas itu.

PPSMI: Gapena buat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran February 16, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari: Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Hrkh) – Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) hari ini membuat satu laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia ekoran keengganan kementerian terbabit memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Dato’ Pendita Dr Haji Ismail Hussein di balai polis Brickfields pada 12.30 tengah hari tadi.

Gapena dalam laporan tersebut menyatakan sebab-sebab bantahan mereka antaranya kerana pelaksanaan PPSMI adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550, Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152 (1) dan 152 (6), Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 17(1) Akta 550, memperuntukkan Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain dikecualikan daripada sub seksyen ini,” jelas Ismail dalam sidang media di luar balai polis selepas membuat laporan tersebut.

Selain itu, kata Ismail, Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang bahawa tiada siapa boleh dilarang atau dihalang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Manakala Perkara 152(6) pula kata beliau memperuntukkan bahawa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran adalah bagi maksud rasmi.

“Berasas kepada kehendak Perkara 152(1) dan (6) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta 550, adalah wajib bagi semua mata peljaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu,” jelas beliau.

Ismail turut menegaskan pelaksanaan PPSMI akan membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang.

Gapena jelas beliau menyokong sekuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu bahasa, tetapi tidak melalui mata pelajaran Sains dan Matematik.

Selain Ismail, beberapa tokoh bahasa yang lain turut sama membuat laporan tersebut.

Mereka terdiri dari Setiausaha Satu Gapena, Prof Madya Dato’ Haji Zainal Abidin Borhan, Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Rejab Ismail (Rejab F.I).

Beberapa pejuang bahasa yang lain turut sama berada di luar balai polis tersebut untuk menyatakan sokongan atas tindakan yang dibuat Gapena itu.

Ungku Aziz – Sain & Matematik Tidak Semestinya Diajar Dalam Bahasa Inggeris Sahaja February 12, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

[dipetik dari Bernama]

Sains Dan Matematik Tidak Semestinya Diajar Dalam Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Subjek Matematik dan Sains boleh diajar dalam mana-mana bahasa dan tidak semestinya hanya dalam bahasa Inggeris, kata Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini.

Beliau berkata kedua-dua subjek itu boleh dipelajari dalam mana-mana bahasa kerana tujuan utama ialah untuk mempelajari subjek tersebut dan bukan bahasa Inggeris.

“Anda boleh buat (belajar Sains dan Matematik) dalam bahasa Melayu agak baik, anda boleh buat dalam bahasa Cina juga sangat baik, anda boleh buat dengan baik dalam bahasa Jerman, tidak ada istimewanya mempelajari sesuatu subjek dalam bahasa tertentu,” katanya kepada pemberita selepas memberikan Syarahan mengenai ‘Mencari Kejayaan’ pada Siri Syarahan Anugerah Merdeka di sini.

Katanya ramai yang memperoleh pengetahuan malah dalam bahasa Melayu dan Matematik sebagai satu bahasa simbolik yang boleh dipelajari dalam mana-mana bahasa.

“Pada 1974, kita mengambil masuk pelajar Melayu di Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya.

Kini graduan Pusat Asasi Sains merupakan pakar dalam bidang masing-masing dan mereka mendapat gaji lebih RM40,000 sebulan dan mereka mempelajarinya semua dalam bahasa Melayu. Sehubungan itu, bahasa bukanlah isunya,” katanya.

Ungku Aziz berkata juga bahasa Melayu boleh menjadi alat untuk memastikan pencapaian perpaduan nasional.

“Anda hanya boleh mempunyai perpaduan nasional jika setiap orang boleh memahami seseorang dalam satu bahasa. Jika orang ramai boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil tetapi mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu dan ini kita tidak boleh ada perpaduan nasional,” kata beliau.

Beliau juga berkata sistem pelajaran negara tidak mempromosikan pemikiran kreatif dan selagi sistem mengamalkan pilihan pelbagai dalam peperiksaan, orang ramai tidak akan kreatif.

“Sekurang-kurangnya anda mesti mempunyai satu subjek mengenai pemikiran sama ada pemikiran kreatif atau pemikiran sisian pada peringkat sekolah sehingga pengajian tinggi,” kata beliau.

Syarahan ini adalah siri ketiga daripada enam siri Syarahan Anugerah Merdeka untuk 2008/2009 yang dianjurkan bersama Petronas, ExxonMobil dan Shell.

— BERNAMA

‘Roslan tinggalkan rekod baik untuk pemimpin kemudian’ February 11, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

dipetik dari: Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Hrkh) – Rekod kepimpinan yang baik dan sikap mesra rakyat yang ditunjukkan oleh Allahyarham Roslan Shaharom, memberi kesan serta meninggalkan laluan ‘mudah’ kepada pemimpin yang bakal bertanding seterusnya menerajui khidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru.

Demikian diluahkan Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Ahmad Awang tentang kehilangan besar PAS terhadap pemergian seorang sahabat dan pemimpin yang disenangi ramai itu.

“20 tahun saya kenal dengannya dan mula-mula ketika dalam Persatuan Ulama Malaysia dimana beliau adalah Setiausa persatuan bagi cawangan Perak. Hasil usaha beliau dan rakan-rakan, akhirnya Perak kini mempunyai 10 Pusat al-Quran yang melahirkan ramai tahfiz.

“Selain menjadi anak murid Dr. Haron Din, beliau begitu disenangi kerana banyak berjasa dalam memberi khidmat sebagai pengamal perubatan Islam,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Jelas Ustaz Ahmad, ketika hariu pengebumian Allahyarham selama, ratusan orang ramai dan penyokong menghadirinya termasuk di kalangan kaum Cina dan India yang merasai kehilangan pemimpin berjasa itu.

“Mereka kata, jarang dengar dia bersuara kasar. Tenang dan banyak membantu penduduk setempat yang menghadapi masalah malah mereka susah hati dengan kehilangannya,” kata Ahmad yang ditemui oleh beberapa orang penyokong kaum India semalam.

“Insya-Allah, dengan rekod yang baik yang ditinggalkan Roslan, akan memudahkan laluan pemimpin atau calon untuk mencapai kemenangan,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden PAS.

Kepada kaum keluarga, Ustaz Ahmad merakamkan ucapan takziah dan berharap diperkutakan kesabaran mengahadapi ujian yang cukup berat malah berharap agar para penyokong dan penduduk di Bukit Gantang meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Allahyarham semasa hayatnya.

“Kasih sayang Allah terhadap Roslan mendahului kita dan walaupun ianya takdir nbamun begitu berat kepada keluarga dan PAS juga. Kita berharap semua bersabar dan terus memberi sokongan kepada perjuangan yang ditinggalkan,” katanya Ustaz Ahmad yang turut mengimami solat jenazah Allahyarham semalam.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi. – azm

Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia February 9, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Al-Fatihah

dipetik dari – Harakahdaily:

BATU GAJAH ,9 Feb (Hrkh) – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.

Beliau yang tinggal di Changkat Larang, Batu Gajah menghadapi masalah kesihatan sekembalinya daripada luar negara, demikian menurut Pegawai Khas beliau, Shaharudin Ahmad Sani kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Shaharudin mengendalikan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Gantang di Markas PAS Air Kuning, Taiping.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu Changkat Jering, Trong dan Sepetang.

“Dalam lawatan beliau ke Taiwan sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke hospital Taiwan atas masalah gula yang tinggi.

“Apa-apa maklumat terkini saya akan sampaikan,” kata Shaharudin ketika dihubungi semasa dalam perjalanannya ke Batu Gajah.

Difahamkan wakil rakyat berusia 50 tahun itu dikatakan telah menghantar keretanya ke sebuah pusat cucian kereta berhampiran rumahnya di Changkat Lalang dekat Batu Gajah.

Kemudian, selepas mengadu sakit dada beliau meminjam basikal milik pekerja pusat tersebut untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

Roslan, 50, ditemui terjatuh di bahu jalan oleh ramai kira-kira pukul 11.15 pagi, kata Ketua Polis Batu Gajah, ACP Najib Mohamad.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin memberitahu kira-kira pukul 1.20 tengah hari bahawa jenazah berada di Hospital Batu Gajah.

Roslan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan pernah juga berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak.

Malam tadi difahamkan semasa perhimpunan rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Allahyarham kelihatan seperti biasa, bergurau berjenaka bersama rakan-rakan yang lain. Beliau yang juga pengamal pengubatan Syifaq amat disenangi oleh kawan dan lawan kata seorang kenalan.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa ke rumahnya di Kampung Changkat Larang, Pengkalan Pegoh.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi. – azm _

Bubar Untuk Mendapat Mandat Baru February 6, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
1 comment so far

Bubarkan DUN Perak dan biarkan rakyat menentukannya – itu yang terbaik. Biarlah mendapat mandat yang baru.

Apa-apa pun, keadaan sekarang ini ianya tidak lebih baik dari sebelumnya. Biar pun Zambry berjanji untuk membawa ketenteraman – ianya tidak mungkin lebih tenteram dari sebelumnya. Dulu PR mempunyai 31 lawan BN 28. Kini BN hanya mempunyai 28 lawan PR 28 – dan 3 lagi masih bebas. Cuma dalam kedudukan bebas mereka itu mereka sekadar menyatakan sokongan terhadap BN. Untuk lama mana?

Ketidaktentuan kini malah lebih parah dari dulu.

Sebab itulah, jalan terbaik untuk mengembalikan kestabilan ialah mendapatkan mandat baru dari rakyat.

Sekian, IB

Munajat Perdana Mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan February 5, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
add a comment

Munajat Perdana
Mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat
Negeri Perak Darul Ridzuan


5 Februari 2009 (KHAMIS)
7.00 Malam – 11.00 Malam
Kediaman Menteri Besar Perak, Ipoh


ACARA :
Mula Solat Maghrib, Bacaan Yasin, Solat Isya’, Solat Hajat, Ceramah Tetamu : Menteri Besar Negeri Pakatan Rakyat, Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat

SEMUA MUSLIMIN & MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Bubar DUN Perak February 4, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
1 comment so far

Begitulah nampaknya cara terbaik – dan tiada pilihan lain lagi.

Pengumumannya ….

Petang nanti? Esok?

Sememangnya mendebarkan.

Sekian, IB

Iran Akan Diserang Sebulan Lagi – Pengakuan Duta Israel February 1, 2009

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
2 comments

Apakah benar bahawa terdapat perangcangan untuk menyerang Iran dalam masa sebulan lagi?

Ini adalah rakaman ucapan Duta Israel ke Australia yang terlanjur memberitahu perancangan itu dalam suatu sidang akhbar dan kemudian meminta kamera dipadamkan dari merakam ucapannya seterusnya.

Sekian, IB

Pembetulan: Sepatutnya IB tulis beberapa bulan – bukan sebulan kerana disebut “in the following months”

Sekian, IB 3 Feb09.