jump to navigation

Saiful Mohon Biasiswa Bila Sudah Dibuang UNITEN? June 30, 2008

Posted by ibrahimbaba in Anwar, politik.
Tags: , , , ,
3 comments

Apabila kita berbohong, kita terpaksa mereka “fakta”. Apabila “fakta” tersebut diselidiki dan dipersoalkan, maka kita terpaksa mereka helah demi helah, tipu demi tipu untuk menutupi pemalsuan fakta yang telah dibohongi sebelum ini.

“Once you compound a lie, you compounded the consequences”

Itulah yang mungkin berlaku dalam kes tuduhan terbaru terhadap DSAI. Dikatakan Saiful Bukhari telah dibuang dari UNITEN – maknanya sudah tidak lagi menuntut di IPT. Walhal, Najib membuat kenyataan (hari ini) bahawa Saiful ke pejabat TPM untuk mohon biasiswa tiga (3) bulan lalu. Tiga bulan lalu Saiful tidak lagi menuntut di IPT. Biasiswa apa yang hendak dipohon?

Kemudian, dalam laporan lain, Saiful yang dikatakan pernah menjawat Timbalan Presiden MPP di UNITEN, telah mempunyai biasiswa semasa di universiti. Biasiswa apa lagi yang hendak diminta?

Kemudian lagi, AgendaDaily pula melaporkan bahawa selepas diperiksa dengan pegawai di pejabat TPM, gambar tersebut dirakam pada Januari 2008. Mana satu yang betul? Najib kata tiga bulan lalu – Mac 2008? Saiful mula bertugas dengan Anwar semenjak PRU2008 (Mac?). AgendaDaily kata Januari 2008! Mana yang betul?

Ini baru permulaan. Kita tunggulah nanti – pelbagai helah, fakta, pembohongan, dakwaan, dan sebagainya – akan timbul. Kita teliti kesemuanya. Jangan pula jadi pindaan tarikh seperti dulu kerana Tivoli Villa belum siap atau tilam diusung lagi.

Apa-apa pun jangan kita mudah menghukum dan perlu kita ingat dengan ayat Al Qur’an,

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Surah An Nuur ayat 4

Sekian, IB

Tenggelam Semuanya Isu Lain June 30, 2008

Posted by ibrahimbaba in Anwar, Kerajaan, politik, PRU2008.
Tags: , , , , ,
2 comments

Satu demi satu isu timbul. Tetapi satu demi satu juga isu tersebut tenggelam. Dengan perkembangan terbaru DSAI, maka habis semua tenggelam isu-isu yang hangat semenjak 3-4 bulan ini. Apakah ini perancangan untuk mengalih tumpuan orang ramai (diversion) ketika pelbagai isu memuncak dan tidak mampu ditangani lagi?

Sebaik sahaja keputusan PRU2008, satu demi satu isu timbul. Hilang kepercayaan rakyat terhadap BN. Kelemahan Pak Lah sebagai ketua BN. Ada juga menyalahkan Pak Lah sebagai orang yang tidak lagi mampu memimpin UMNO.

Tumpuan selepas PRU2008 ialah kepada janji dan usaha DSAI untuk menubuhkan kerajaan PR apabila sebilangan ahli parlimen BN akan melompat masuk ke PR (ada yang kata 32 orang, ada yang kata kini sudah 48 orang dan sebagainya).

Kerajaan BN bukan sahaja tertekan dengan isu-isu tersebut. Kenaikan harga pelbagai barangan dan serta kekurangan bekalan sesetengah barangan keperluan menekankan lagi kerajaan pimpinan BN.

Namun apabila kerajaan memeranjatkan rakyat sekalian dengan kenaikan harga petrol yang mendadak baru-baru ini, ia telah mampu mengalih perbincangan umum kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan isu terbaru dihebahkan oleh Shahril Samad. Maka seluruh media dan rakyat berbincang pasal kenaikan harga barang, cara-cara hendak berjimat, pelbagai saranan mengurangkan belanja, penggunaan NGV dan sebagainya. Maka hilang habis suara yang mengamatkan suasana politik yang meminta Pak Lah letak jawatan.

Kemudian timbul pula kes Raja Petra dengan Altantuyanya. Bila Rosmah dan beberapa lagi dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya, perbicaraan mahkamah kedai kopi sudah beralih isu lagi. Kehangatan kenaikan harga barangan sudah tidak menjadi tumpuan utama – walaupun masih dibincangkan.

Kini, dengan ledakan isu terbaru, mampukah Pak Lah terselamat dan Najib merasa lega sebentar?

Sekian, IB

Nikmat Royalti Untuk Orang Terengganu? June 18, 2008

Posted by ibrahimbaba in Mahathir, PRU2008, royalti, Royalti minyak, Terengganu, UMNO.
add a comment

Umum mengetahui hasil dari dengki dan hati yang busuk, hatta dari kalangan pemimpin UMNO Terengganu sendiri yang dipimpin oleh Idris Jusoh, mereka telah dengan sebulat suara menyokong padu tindakan Mahathir untuk menyekat rakyat Terengganu dari menikmati hasil kekayaan negeri sendiri selepas UMNO tumbang dalam PRU1999.

Itulah budaya samseng dengan slogan “padan muka” yang dibawa oleh Idris pada masa itu. Bersoraklah sekalian penyokong UMNO “padan muka” kepada Kerajaan pimpinan PAS.

Sorakan mereka tidak lama. Satu persatu mereka mula sedar (tapi menyorok ego jantan mereka). Gantian dengan “wang ehsan” rupanya terputus sebaik sahaja Idris memerintah negeri selepas PRU2004.

Kalau dulu bila PAS memerintah, wang ehsan ditabur untuk meraih sokongan. Berduyun-duyun mereka sanggup datang walaupun tidak diangkut dengan kenderaan percuma seperti semasa PRU. Panas atau hujan sanggup mereka beratur untuk mendapat wang bagi melepaskan belanja (bagi yang amat berkehendak).

Namun bagi mereka yang sudah mencukupi pun turut serta menadah tangan untuk menerima wang ehsan. Ini jelas dapat dilihat dengan deretan kereta yang tidak kurang hebatnya di sekitar tempat pembahagian wang ehsan.

Apabila UMNO kembali memerintah, rakyat semakin terasa aliran wang ehsan sudah tidak lagi sampai kepada orang kebanyakkan. Hinggakan mereka di kalangan pemimpin bawahan UMNO pun terasa perubahan angin ekonomi yang tidak lagi dikongsi ramai.

Projek-projek mega beratus juta diwar-war. Slogan tidak lekang diheboh dan terpampar dicerok simpang jalan. Rupanya, yang merasa hasil curahan wang ringgit dari “dana khas” bagi mengantikan royalti hanya kepada beberapa kelompok yang kecil di kalangan pimpinan negeri yang dikongsi dengan kontraktor luar Terengganu.

Pelancong luar untuk hadir Monsoon Cup disambut dengan pulau yang indah, bersih dan bebas nyamuk, walapun untuk kedatangan yang pada kadar sekali setahun. Para penduduk yang menghuni di tempat tarikan terbaru itu sejak turun-temurun hanya sekadar menyedut asap semburan aedes demi keselesaan orang luar. Itulah pengertian pembangunan bagi mereka.

Kini, rakyat sudah semakin sedar. Sesetengah pemimpin UMNO negeri pun sedar akan pembahagian projek yang tidak merata kepada mereka. Namun masih ada yang tidak senang dengan putaran terbaru ini. Maka timbullah dua pihak yang dendam berdendam untuk memeriahkan lagi budaya padan muka mereka itu.

Kita lihatlah nanti, percakaran kedua-dua pihak ini belum reda. Asas perjuangan mereka adalah kekayaan yang bakal direbut. Perasaan dengki dan hati yang busuk tidak mudah dibersihkan selagi matlamat perjuangan mereka tetap bersandarkan wang ringgit.

Bukan Kaum Hawa Sahaja Yang Menderita June 16, 2008

Posted by ibrahimbaba in masalah sosial, rumahtangga.
add a comment

Selalunya sesetengah pihak NGO (terutama SIS, JAG, NCWO) dan beberapa agensi Kerajaan (dan juga beberapa orang individu seperti Sharizat) akan memperkatakan kisah kemeranaan seseorang isteri yang dianiayai lelaki.

Jarang sekali kita baca kisah sebaliknya. Namun itu Harian Metro semalam melaporkan berita “Dimadu isteri: Jalin hubungan sulit“.

Derita suami bukan setakat isteri menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain tetapi seperti dilaporkan ianya melibatkan juga penderaan fisikal selain dari dilemparkan dengan kata-kata yang tidak disepatutnya disuarakan oleh seorang isteri terhadap suaminya.

Dengan tidak mengetahui latar belakang kes ini, IB tidak ingin menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi jika benar bagai dilaporkan, dan IB yakin kes ini bukan satu-satunya yang berlaku, maka perlu ada badan atau mana-mana pihak yang sepatutnya pihak suami dapat hubungi untuk menyelesaikan masalah dan mendapat bantuan serta pembelaan yang sewajarnya.

Sesetengah suami mungkin terpaksa simpan penderitaan seorang diri akibat ego lelaki mereka tercabar. Jangan pula pihak yang bersuara untuk kaum hawa buat tidak faham berhubung adanya kes-kes seperti ini.

Sekian, IB

Surat Terbuka Mahathir Kepada Tunku Abdul Rahman – 17 Jun 1969 June 15, 2008

Posted by ibrahimbaba in Mahathir, politik, UMNO.
4 comments

Batu 6, Titi Gajah,
Alor Star,
17 June 1969

Y.T.M. Tunku,

Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada ahkbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkam-nya.

Pendapat-pendapat Tuku berasakan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek menbuat kenyataan yang di-tegor-itu.

Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu. Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.

Tunku selalu “bertolak-ansor”, ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.

Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan India mebuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.

Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamk sehingga nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana tunku terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.

Patek mohon ma’af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku. Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.

Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal sebagai “The Happy Prime Minister” walau-pun ra’ayat mederita. Mereka tahu bahawa dalam deadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untok menchari kaki poker.

Sa-balek-ny pula orang2 China tidak sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku “naive” dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hingga China becha.

Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentara dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos. Pegawai Melayu dari Polis, tentara dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku mebuat apa2 yang tidak di-ingini oleh mereka, patek pechaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.

Patek tahu Tunku taku kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula “lose control over the armed forces”. Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi “Happy Prime Minister” tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai “happines” apa2.

Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah minipu diri dengan berkata “satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya”. Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari manjadi perdana menteri dan Ketua Umno.

Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.

Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang kerana patek Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta’berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan merpertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah dara Pakistani dalam tubuh badan patek.

Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu. Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa keuta2 UMNO tidak boleh?

Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo’a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas.

Patek Yang Ikhlas

(Dr Mahathir bin Muhammad)

********************************

Nota – sekadar menyiarkan semula surat yang ditulis oleh Mahathir hampir 30 tahun lalu. Surat ini telah disiarkan beberapa kali sebelum ini oleh pelbagai laman sesawang.

Ibadat Yang Tercemar June 10, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
8 comments

Sujud adalah suatu ibadat. Untuk melakukan sujud (dalam solat) seseorang itu perlu dalam keadaan solat. Dan untuk solat perlu ada syarat-syaratnya seperti berwudhu, menutup aurat dan mengadap kiblat.

Apa yang IB ingin bawa dalam tulisan ini ialah siaran berita yang menunjukkan pelari 100 meter wanita dari Johor yang memenangi pingat emas SUKMA di Terengganu, telah sujud di atas trak larian selepas menamat lariannya. Dengan keadaan sujud entah arah mana yang dihala, berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan menimbulkan kehairanan kerana dari mana pula beliau menuntut ilmu bahawa itulah cara melakukan ibadat sujud.

Kita sujud hanya kepada Allah Azzawajalla tiada yang lain. Dan sujud adalah suatu ibadat.

Bukan sahaja ibadat itu tercemar, tetapi dari sisi adat budaya ketimuran pun tidak sesuai gambaran yang dirakamkan menunjukkan punggung pelari wanita Melayu Islam dengan berseluar pendek yang singkat menonggeng ke arah sekelian penonton dalam stadium – amat tidak manis.

Janganlah kita sekadar meniru-niru sahaja orang lain yang tidak sama agama dan kebudayaannya dengan kita.

Namun dalam suasana keseronokan dan dalam majlis yang lara seperti itu kita hilang pertimbangan hukum-hakam dan persoalan adab susila. Jangan kita juga keliru dalam membezakan di antara adat dan ibadat.

Sekian, IB

Adat Atau Ibadat? June 9, 2008

Posted by ibrahimbaba in Uncategorized.
1 comment so far

Kerap kali kita lihat sesuatu yang dilakukan adalah bertujuan untuk melaksanakan sesuatu kebajikan di atas niat untuk kebaikan. Namun, kerap kali yang berlaku kebaikan yang dihasratkan untuk dilaksanakan tidak kena pada tempatnya.

IB ingin mengambil satu contoh yang kecil – dengan merujuk kepada upacara perasmian SUKMA di Kuala Terengganu yang baru melabuhkan tirainya malam ini.

Pada asalnya, semasa upacara perasmian oleh Tuanku, salah satu agenda yang dirancang dalam aturcara majlis ialah bacaan doa. Namun, upacara membaca doa akhirnya ditiadakan. Keputusan untuk tidak mengadakan bacaan doa selamat dalam majlis perasmian tersebut amatlah bertepatan sekali.

Membaca doa adalah suatu ibadat. Dalam melaksanakan sesuatu ibadat, ada tatacara yang wajar dipatuhi. Majlis perasmian sukan sepertimana yang telah terlaksana amat tidak wajar disertakan dengan ibadat seperti bacaan doa.

Apakah oleh kerana sebelum ini lazimnya penganjur sesuatu majlis mengadakan bacaan doa, maka demi menjaga adat (bukan demi untuk melaksanakan ibadat) bacaan doa perlu diadakan dalam suasana yang tercemar.

Tambahan sedikit lagi, apabila merujuk kepada tatacara yang perlu dijaga termasuklah juga sipembaca doa perlu berpakaian sesuai. Takkan oleh kerana ahli sukan dengan pakaian yang mungkin tidak begitu sempurna hendak memimpin bacaan doa.

Tetapi, takkan pulalah hendak disuruh mufti hadir majlis yang lara dan membazir masa seperti itu semata-mata hanya untuk membaca doa.

Maka, dalam menjaga adat amatlah perlu jangan kita cemarkan ibadat yang suci. Syabas kepada pihak-pihak yang telah menjaga kesucian ibadat agar tidak tercemar.

Sekian, IB

Rokok & Tembakau – Percanggahan Polisi Kerajaan June 1, 2008

Posted by ibrahimbaba in Kerajaan, Rokok/Tembakau.
4 comments

Umum mengetahui bahawa rokok merbahaya untuk kesihatan. Bagi mereka yang menghisap rokok, walaupun sudah tertera amaran bahaya merokok pada setiap kotak rokok, mereka tetap merokok.

Maka dirasakan seolah-olah amaran tersebut gagal mencapai matlamatnya, Menteri Kesihatan yang baru, Liow Tiong Lai, mencadangkan agar mesej yang lebih keras dengan grafik ngeri perlu disampaikan. Utusan (1 Jun) memetik bahawa “Mulai 1 Disember ini, kotak-kotak rokok akan dicetak dengan gambar penyakit kronik termasuk kanser paru-paru akibat merokok sebagai langkah peringatan keras dan pencegahan tabiat berkenaan di kalangan orang ramai.

Apakah akan berkesan? Berjuta wang ringgit telah diberikan kepada LimKokWing untuk kempen “Tak Nak” merokok namun statistik belum lagi menunjukkan angka yang memberangsangkan.

Malah setiap tahun Hari Tanpa Tembakau disambut di pelbagai peringkat dengan pelbagai tema dan wang ringgit yang hangus sepertimana hangusnya wang ringgit perokok, namun, belum terdengar perokok berhenti merokok hasil dari Hari Tanpa Tembakau. [kalau pun ada mungkin terlalu kecil bilangannya untuk diambilkira sebagai di dalam statistik]

Dalam pada jutaan wang dibelanjakan untuk menyeru perokok untuk berhenti mengambil tembakau, kerajaan turut mempunyai agensinya yang menggalakkan penanaman tembakau. Lembaga Tembakau Negara diasaskan untuk:

Visi

Menerajui pembangunan industri tembakau secara teratur dan lestari untuk menghadapi cabaran globalisasi.

Misi

Untuk memaju dan meningkatkan industri tembakau supaya lebih cekap dan berdaya maju dalam sumbangannya kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.

Aneh tetapi fakta. Subsidi diberikan untuk para penanam tembakau. Maka habislah duit menggalakkan penanaman tembakau. Kemudian habis pula duit untuk menyeru orang berhenti merokok.

Sukar untuk IB fahami bagaimana LTN hendak sumbang pembangunan aspek sosio dengan cara menggalakkan lebih ramai orang mendapat pelbagai penyakit akibat tembakau. Statistik menunjukkan makin ramai mereka yang mengidap pelbagai penyakit akibat dari asap rokok.

Sekian, IB

Sila Bawa Kondom Untuk Berzina June 1, 2008

Posted by ibrahimbaba in Islam, politik, UMNO.
2 comments

Agaknya itulah saranan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Abdul Latiff, apabila berucap merayakan Hari Peringatan AIDS Antarabangsa semalam, seperti yang dilaporkan dalam The Star [1 Jun 2008]:

In view of the rising number of women contracting HIV, every woman should carry a condom with her for her own protection, said Deputy Health Minister Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Apakah itu kaedah terbaik untuk mencegah berjangkitnya AIDS kepada kaum wanita?

Walaupun Presiden Majlis AIDS Malaysia, Prof Adeeba mengatakan ada wanita “who contracted HIV were housewives, infected unknowingly by their husbands who could be drug addicts“, apakah berjuta lagi wanita Melayu lain wajar membawa kondom juga untuk bersama suaminya kerana tidak pasti samada suaminya dijangkiti AIDS atau tidak?

Menurut laporan itu lagi, di Malaysia pada tahun lepas, terdapat 3 orang mati setiap hari akibat penyakit AIDS dan sebahagian besarnya adalah orang Melayu.

By ethnicity breakdown, Malays recorded the highest number of HIV sufferers (58,267 in total), followed by Chinese (11,886), Indians (6,532) and foreigners (2,722).

Sebagai pemimpin Melayu, seorang yang duduk dalam pentadbiran tertinggi Kerajaan, Dr. Latiff sewajarnya tidak melepaskan tangan dan menyerah kepada NGO.

Beliau dan kerajaan berwajib untuk menimbang kembali polisi dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan agar tidak menjurus kepada menggalakkan pergaulan bebas, kerosakan akhlak remaja dan sebagainya.

Kita tidak perlu dilihat jauh. Sambutan yang sepatutnya mengajak rakyat, terutama kaum remaja memahami erti patriotik dan cintakan negara yang merdeka dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang sememangnya melalaikan anak-anak muda dan menggalakkan kerosakan akhlak dengan pergaulan bebas.

Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melihat permasalahan ini dari akar umbinya. Bukan sekadar cuba membaiki gejala yang menular akibat polisi dan usaha yang tidak bersungguh dalam menyelesaikan punca timbulnya gejala ini.

IB mengatakan kerajaan tidak serius dalam hal ini. Para pemimpin Melayu amat tidak serius untuk menyelesaikan masalah ini.

Kita bandingkan dalam senario yang berbeza. Apabila sebahagian besar pengundi muda Melayu menolak UMNO dalam PRU1999, kerajaan telah melakukan pelbagai program untuk memastikan bakal pengundi baru tidak lagi melakukan perkara yang sama pada PRU1999. Hampir seluruh jentera telah dikerahkan, terutamanya di IPTA untuk mengengkang pengaruh “pembangkang” dari “masuk” ke kampus. Segala usaha ke arah kebaikan dihalang dan mahasiswa dilalaikan dengan sogokan yang melesukan aktiviti kemahasiswaan dari berfikiran matang.

Tidak cukup dengan itu, usaha-usaha lain dilambakkan dalam masyarakat bagi memastikan rakyat terutama muda-mudi diasyikkan dengan timbunan aktiviti yang melalaikan. Baik di media mahupun dalam program-program hiburan disusun dengan himpunan ribuan orang Melayu tanpa mengira lagi pergaulan bebas serta melalai terus waktu solat.

Akibat dari semua ini kita lihat perubahan ketara dalam PRU2004. Akibat yang amat ketara ialah juga gerakan serta aktiviti berbentuk keislaman lesu di kampus-kampus. Mahasiswa pada umunnya tidak lagi berfikiran serius. Mereka tidak lagi peka dengan nasib masyarakat – jauh lagi dari membela serta memperjuangkan nasib orang Melayu.

Hingga ada pemimpin tertinggi parti Melayu mengatakan orang Melayu “Haprak” pun ditepuk dengan gemuruh seluruh yang hadir.

Sekian, IB